Letupan kemba...

Letupan kembar di parlimen bunuh 21

KABUL, 10 Jan – Letupan berkembar Taliban melanda berhampiran parlimen Afghanistan di Kabul hari ini, membunuh kira-kira 21 orang dan mencederakan 45 yang lain dalam serangan waktu sibuk di bandar tersebut.

Pemberontak Taliban segera mendakwa bertanggungjawab atas pengeboman itu, yang melanda ketika para pekerja sedang keluar dari kompleks parlimen.

“Letupan pertama berlaku di luar parlimen…sebilangan pekerja tidak bersalah telah terbunuh dan cedera. Ia adalah disebabkan oleh pengebom berani mati,” kata Zabi, seorang pengawal keselamatan parlimen yang cedera memberitahu AFP.

“Letupan kedua adalah sebuah bom kereta. Ia diletakkan di tepi jalan dan mengakibatkan saya terpelanting apabila ia meletup,” katanya.

Letupan itu mengakibatkan 21 orang maut dan 45 lagi cedera, kebanyakan mereka orang awam termasuk pekerja parlimen, kata seorang pegawai keselamatan memberitahu AFP, meminta tidak dinamakan.

Pasukan keselamatan Afghanistan berdiri mengawal berhampiran tapak dua letupan di Kabul, Afghanistan pada 10 Januari. – AP
Pasukan keselamatan Afghanistan berdiri mengawal berhampiran tapak dua letupan di Kabul, Afghanistan pada 10 Januari. – AP

Pegawai keselamatan lain berkata letupan itu telah mengakibatkan ‘puluhan orang lain terkorban’.

Sekitar 70 mangsa cedera telah dikejarkan ke hospital, seorang jurucakap kementerian kesihatan memberitahu AFP.

Letupan itu meledak berhampiran ruang tambahan parlimen, yang menempatkan pejabat beberapa ahli perundangan.

Namun jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata letupan itu menyasarkan sebuah kenderaan kepunyaan agensi perisikan utama Afghanistan.

Sementara itu, awal hari ini, seorang pengebom berani mati telah meletupkan dirinya di Lashkar Gah, bandar bergolak selatan wilayah Helmand, membunuh tujuh orang, kata ketua polis tempatan. – AFP