Letupan masjid di Kabul ragut 27 jiwa, 35 lagi cedera

Letupan masjid di Kabul ragut 27 jiwa, 35 lagi cedera

KABUL, 21 Nov – Satu letupan besar berlaku di sebuah masjid Syiah di Kabul telah mengorbankan kira-kira 27 orang hari ini dan mencederakan 35 yang lain ketika para jemaah berkumpul bagi majlis keagamaan, kata para pegawai.

Para penyerang berada dalam kalangan jemaah di dalam masjid itu ketika dia meletupkan bom, kata pegawai kanan polis, Fridon Obaidi, yang turut memberi bilangan mangsa korban.

Jurucakap kementerian dalam negeri, Sediq Sediqqi berkata letupan itu berlaku sekitar 12:30 tengah hari (0800 GMT). Polis mengepung kawasan sekitar masjid Baqirul Olum di barat bandar Afghan ketika ambulans berkejar ke tempat kejadian.

“Saya mendengar letupan dan abu meliputi seluruh masjid itu,” kata jemaah, Nadir Ali.

“Apabila debu sudah hilang, saya melihat masjid itu penuh dengan darah. Saya cedera di pinggang dan terpaksa merangkak keluar dari masjid.”

Seorang budak lelaki Afghanistan yang cedera telah dibawa masuk ke ambulans untuk dihantar ke Hospital Estiqlal selepas letupan nekad di masjid Syiah di Kabul pada 21 November. – AFP
Seorang budak lelaki Afghanistan yang cedera telah dibawa masuk ke ambulans untuk dihantar ke Hospital Estiqlal selepas letupan nekad di masjid Syiah di Kabul pada 21 November. – AFP

“Saya berada di dalam masjid ketika orang sedang berdoa. Tiba-tiba saya mendengar bunyi letupan dan tingkap pecah. Saya tidak terfikir apa yang telah berlaku. Saya berlari keluar sambil berteriak,” kata jemaah lain, Ali Jan kepada AFP.

Presiden Ashraf Ghani berkata dalam satu kenyataan, dia mengutuk keras serangan ‘kejam’ itu.

Masjid-masjid di Kabul biasanya tidak mempunyai petugas keselamatan – walaupun peronda polis boleh dilihat berhampiran pada hari Jumaat – dan beberapa saksi mengkritik kerajaan berhubung kekurangan perlindungan hari ini. – AFP