Letupan tangki minyak ragut 150 jiwa

Letupan tangki minyak ragut 150 jiwa

JUBA, 18 Sept (AFP) – Sekitar 150 terkorban di Selatan Sudan apabila lori tangki minyak yang kemalangan meletup ketika khalayak ramai sedang mencedok minyak yang tertumpah, menurut laporan hari ini.

Pegawai kanan tempatan, John Ezika memberitahu Eye Radio Sudan bahawa jumlah kematian pada awalnya mungkin lebih 85 pada letupan yang berlaku Rabu telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 150 orang, selepas ramai yang mati akibat terbakar.

Mayat lain yang rentung juga ditemui di sekitar bangkai lori tangki itu.

Nahas dan diikuti letupan selepas itu berlaku di sebatang jalan kira-kira 250km barat bandar Juba, dekat dengan bandar kecil Maridi.

Bagaimanapun, pengarah kerajaan tempatan Maridi, John Saki memberitahu tapak berita Gurtong Selatan Sudan, jumlah kematian mungkin setinggi 176 orang.

Doktor telah menggambarkan bagaimana mereka bergelut untuk menangani mangsa yang terbakar teruk dengan bekalan terhad termasuk kekurangan ubat penahan sakit.

Saki mengatakan sekitar 1,000 orang ramai berkumpul di sekitar lori tangki itu untuk mengumpulkan minyak selepas ia terlanggar di tepi jalan, dengan ramai yang datang dari sekolah berhampiran.

“Kemudian satu letupan berlaku yang membawa kepada kematian kira-kira 55 orang pada awalnya, dan kini meningkat kepada 176 orang – ramai mangsa yang lain dalam keadaan yang kritikal di hospital Maridi,” Saki memberitahu laman web berita Gurtong Selatan Sudan.

Mereka yang mengunjungi mangsa yang cedera di hospital di Maridi itu menggambarkan kejadian yang mengerikan.

“Beberapa daripadanya terbakar di seluruh kaki mereka, yang lain di tangan, yang lain di keseluruhan badan dan belakang,” seorang saksi memberitahu Radio Tamazuj.

“Mereka kelihatan seperti orang putih.”

Kebocoran minyak dan kemalangan lori tangki minyak sering mencetuskan ramai orang mengambil kesempatan untuk mencedok minyak, sehingga mengakibatkan banyak kematian disebabkan insiden kebakaran.

Salah satu kemalangan paling teruk di Nigeria pada tahun 1998, apabila lebih 1,000 orang mati di negeri Delta dalam kejadian sebatang saliran paip meletup ketika orang ramai cuba untuk mencuri minyak.

ARTIKEL YANG SAMA