Letusan tangguh penerbangan

Letusan tangguh penerbangan

JAKARTA, 3 Ogos – Letusan gunung berapi di Indonesia dalam masa beberapa hari kebelakangan telah memaksa penutupan dua lapangan terbang dan menangguhkan beberapa penerbangan ke pulau percutian Bali, kata para pegawai hari ini.

Gunung Gamalama di timur pulau Ternate meletus awal hari ini selepas gempa bumi sederhana melanda kawasan itu, mengeluarkan abu setinggi 600 meter ke udara dan menutup lapangan terbang pulau itu, kata agensi bencana kebangsaan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk bertenang,” kata jurucakap agensi, Sutopo Purwo Nugroho, menambah bahawa pihak berkuasa belum lagi merancang pemindahan.

Lapangan terbang dijangka akan kekal ditutup sehingga pagi Khamis. Gunung berapi telah berhenti meletus pada petang hari ini.

Lapangan terbang di Lombok telah ditutup semalaman bermula Isnin hingga Selasa akibat letusan kepulan abu Gunung Rinjani yang berarak ke kawasan itu, mengakibatkan pembatalan sekitar 29 penerbangan domestik dan antarabangsa ke pulau peranginan itu.

Lapangan terbang ke Bali, yang menarik jutaan pengunjung luar negeri setiap tahun, kekal dibuka namun beberapa penerbangan antara Lombok dan Bali telah dibatalkan sementara beberapa perkhidmatan antara Australia dan Bali juga ditangguhkan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA