Lewandowski ikut jejak Guardiola

Lewandowski ikut jejak Guardiola

BERLIN, 1 Feb – Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski mencetak jaringan ke-19 miliknya di Bundesliga dan memberi bayangan sedia mengikuti jejak Pep Guardiola meninggalkan kelab gergasi Jerman itu musim depan.

Lewandowski menjadi duri dalam daging ketika Bayern menewaskan Hoffenheim 2-0 apabila menghasilkan kedua-dua jaringan untuk mengukuhkan kedudukan peneraju dengan kelebihan lapan mata.

Dia sudah menjaringkan 19 gol dalam 18 aksi liga dan sedang bertarung sengit dengan penyerang Borussia Dortmund Pierre-Emerick Aubameyang, 20 gol untuk menjadi penjaring gol terbanyak Jerman kempen ini.

Mesin gol Poland itu mempunyai kontrak dengan Bayern sehingga 2019, tetapi membayangkan kepada akhbar Die Welt bahawa dia mungkin berpindah apabila Carlo Ancelotti menggantikan Guardiola musim depan.

Lewandowski kebelakangan ini sering dikaitkan dengan pasukan gergasi Real Madrid dan Paris Saint-Germain selepas presiden Bayern Karl-Heinz Rummenigge mengakui mereka berminat terhadap penyerang Napoli Gonzalo Higuain.

Apabila ditanya sekiranya dia berfikir akan menamatkan kariernya di Bayern, Lewandowski, 27, memberi reaksi balas yang pasti kurang menggembirakan penyokong di Allianz Arena.

“Sebagai pemain bola sepak yang profesional, sukar untuk saya mengatakan,” katanya.

“Banyak kali saya mendengar pemain berkata begitu dan kemudian apabila berlaku pertukaran jurulatih dan mereka seakan kurang diperlukan atau mereka mendapat tawaran yang lebih menarik.

“Bagaimanapun, saya masih ok di Bayern dan akan memberi yang terbaik untuk pasukan ketika saya masih di sini. Tumpuan saya kini hanya untuk Bayern.

“Sejak saya berusia 18 tahun, terdapat banyak ura-ura dan pertanyaan sebab saya sudah terbiasa dengan perkara sebegini. Saya boleh melenyapkannya dan ia tidak akan menjejaskan karier saya.”

Lewandowski menyertai Bayern dari Dortmund pada 2014 dan dianggarkan harga pasarannya kini kira-kira $75.8 juta (RM314 juta) selepas reputasinya sebagai salah satu penyerang terbaik dunia ketika ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA