Lewandowski ledak hatrik

Lewandowski ledak hatrik

MUNICH, 30 Sept (AFP) – Sentuhan penyudah berbisa Robert Lewandowski berterusan, apabila meledak hatrik ketika Bayern Munich mencatat kemenangan besar 5-0, menumbangkan Dinamo Zagreb dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Lebih mengecewakan buat Zagreb, kekalahan di laman lawan itu turut menamatkan rentetan 45 perlawanan tanpa kalah buat kelab dari Croatia itu.

Selain gol Lewandowski, dua gol Bayern dijaringkan Mario Goetze dan Douglas Costa yang meletakkan kelab gergasi Jerman itu selaku pendahulu Kumpulan F yang turut diisi Olympiakos dan Arsenal.

Penyerang kelahiran Poland itu kini sudah mengumpul 10 gol daripada tiga perlawanan selepas meledak lima gol dalam tempoh sembilan minit ketika Bayern menewaskan Wolfsburg 5-1, minggu lalu selain dua gol ketika menang 3-0 di Mainz, Sabtu lalu.

“Saya gembira kerana berjaya menjaringkan tiga lagi gol, namun perkara yang paling utama ialah kami menang 5-0,” kata Lewandowski.

Lewandowski tatkala merembat masuk gol kelima pasukannya pada perlawanan Liga Juara-Juara di Munich pada 29 September 2015. – AFP
Lewandowski tatkala merembat masuk gol kelima pasukannya pada perlawanan Liga Juara-Juara di Munich pada 29 September 2015. – AFP

“Tidak bermakna berapa banyak gol yang saya jaringkan selagi kami terus mengutip mata.

“Keseluruhan pasukan bermain dengan baik, mencipta peluang untuk saya,” katanya dengan kesemua 10 gol yang diciptanya dilakukan dalam tempoh lapan hari.

Prestasi cemerlang Lewandowski turut diakui kapten Bayern, Philipp Lahm. “Dia mengharungi minggu yang menakjubkan,” kata Lahm sambil berjenaka dia menjangkakan tiga gol dalam setiap perlawanan daripada Lewandowski selepas ini.

Kekalahan 5-0 adalah kekalahan terbesar Zagreb di laman lawan dalam kempen Eropah yang mengatasi kekalahan 6-2 kepada Real Madrid, empat tahun lalu.

ARTIKEL YANG SAMA