Lewandowski pamer aksi cemerlang

Lewandowski pamer aksi cemerlang

BERLIN, 15 Feb – Dua gol daripada penjaring terbanyak Bundesliga, Robert Lewandowski membolehkan juara bertahan Bayern Munich menewaskan Augsburg 3-1, awal pagi tadi untuk kekal lapan mata di persada Bundesliga.

Kemenangan itu bukan saja membantu gergasi Bavaria menghampiri gelaran keempat berturut-turut liga, namun membuktikan kebolehan pemain muda mereka mengisi ruang daripada kehilangan tonggak pertahanan tengah keempat kerana masalah kecederaan.

Siri kecederaan menimpa kem Bayern dengan Javi Martinez, Jerome Boateng, Mehdi Benatia dan yang terbaharu, Holger Badstuber kelmarin selepas patah buka lali ketika latihan.

“Apa yang berlaku kepada Holger adalah mimpi ngeri,” kata pengendali Bayern Pep Guardiola.

“Kami bermain untuknya hari ini (malam tadi) dan kami sangat gembira memenangi perlawanan ini,” tambah Guardiola yang menyertai barisan pemainnya dengan menyarung baju-T sebagai tanda sokongan kepada pertahanan berkenaan.

Robert Lewandowski (kanan) dan Thomas Muller ketika meraikan jaringan buat Bayern Munich. – Reuters
Robert Lewandowski (kanan) dan Thomas Muller ketika meraikan jaringan buat Bayern Munich. – Reuters

Badstuber, yang sering mengalami kecederaan sejak 2012, dijangka berehat tiga bulan.

Turun beraksi di tempat lawan Arena SGL, Bayern segera menguasai permainan dan Lewandowski tidak menunggu lama untuk mengatasi tiga pertahanan sebelum membuat pusingan dan melepaskan rembatan yang menerjah ke gawang seawal minit ke-15.

Penyerang Poland itu, yang turut mencetak dua gol ketika menang 3-0 ke atas VFL Bochum dalam aksi Piala Jerman, menghasilkan gol kedua apabila mudah menyempurnakan hantaran Thiago Alcantra pada minit ke-62 untuk jaringan peribadi ke-21 dalam kempen musim ini.

Sejak Bundesliga bersambung selepas rehat musim sejuk, Lewandowski menjadi satu-satunya pemain yang menjaringkan gol untuk Bayern, menemui gawang sebanyak enam kali dalam empat perlawanan – tetapi ia berubah pada minit ke-78 apabila Thomas Muller menyumbat gol peribadi ke-15 musim ini.

Raul Bodabilla menyambar gol sagu hati lewat permainan buat tuan rumah dengan Bayern kembali melebarkan penguasaan kepada 56 mata hasil kemenangan ke-18 dalam 21 aksi Bundesliga.

Ketiadaan empat tonggak pertahanan tengah memaksa Guardiola melakukan rombakan dengan menyenaraikan barisan pertahanan yang ketinggian kurang daripada 180 sentimeter – Juan Bernat, Alaba, Philipp Lahm dan Joshua Kimmich. – Reuters