Lewandowski sasaran Liverpool

Lewandowski sasaran Liverpool

LONDON, 13 Nov (Agensi) – Liverpool bakal mengemukakan tawaran untuk mendapatkan bintang penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski selepas diberi peruntukan besar.

Pemain antarabangsa Poland itu sering dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield sejak Jurgen Klopp mengambil alih Liverpool, bulan lalu kerana kedua mereka pernah bekerjasama ketika di Borussia Dortmund.

Menurut akhbar Jerman, Bild, Klopp tidak sabar untuk kembali bersama pemain itu.

The Reds dikatakan amat berminat untuk membawa masuk penyerang berusia 27 tahun itu, walaupun terpaksa berbelanja besar bagi merealisasikan impian tersebut.

Lewandowski menjadi penyerang paling digeruni di Eropah selepas meledak 14 gol daripada 11 perlawanan Liga Jerman musim ini, namun Liverpool mampu membiayai pembelian pemain tersebut selepas menerima perjanjian penyiaran yang baharu, musim depan.

Klopp (kiri) dan Lewandowski semasa di Borussia Dortmund. – Reuters
Klopp (kiri) dan Lewandowski semasa di Borussia Dortmund. – Reuters

“Saya fikir berita ini tidak masuk akal. Mengapa? kerana dia (Lewandowski) baru memasuki musim kedua di Bayern dan kontraknya hanya akan berakhir pada musim panas 2019. Bayern tidak mungkin melepaskannya.

“Walaupun (Pep) Guardiola (pengurus Bayern) tampak seperti bukan peminat pemain, namun dia juga mengakui Lewandowski antara penyerang terbaik di dunia ketika ini. Pemain ini memiliki nilai yang besar buat kelab.

“Apa pun, kita tidak boleh nafikan, dia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Klopp, malah baru tahun lalu Lewandowski dipetik sebagai berkata ‘Saya sangat bertuah dengan apa yang telah dilakukan oleh Klopp kepada saya’,” kata pengulas sukan Jerman, Sven Busch.

ARTIKEL YANG SAMA