Lewandowski, Shaqiri bakal bukti kemampuan

Lewandowski, Shaqiri bakal bukti kemampuan

TOULOUSE, 24 Jun (AFP) – Meskipun penyerang Poland, Robert Lewandowski dan sayap Switzerland, Xherdan Shaqiri masih belum menyinar di Euro 2016, mereka kini mendapat satu lagi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka apabila kedua-dua pasukan bakal berentap dalam kelompok 16 terakhir di St Etienne, malam minggu ini (malam ini waktu Brunei).

Walaupun prestasi mereka tidaklah seburuk mana, namun setakat ini Lewandowski dan Shaqiri masih gagal memperagakan persembahan cemerlang dalam memenuhi status sebagai bintang pasukan dan terus ketandusan gol.

Kegagalan Lewandowski menyudahkan peluang awal yang terhidang sewaktu menewaskan Ukraine 1-0 menyaksikan dia kini sudah kemaruk gol sepanjang enam perlawanan antarabangsa.

Bagaimanapun, dia masih bekerja keras di bahagian serangan dan sentiasa berada pada posisi yang tepat untuk menerima bola sekali gus tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai prestasinya ketika ini.

Robert Lewandowski yang belum menghasilkan sebarang gol dalam saingan Euro 2016. – AFP
Robert Lewandowski yang belum menghasilkan sebarang gol dalam saingan Euro 2016. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

“Dia memainkan pengaruh penting terhadap cara kami bermain. Dia tonggak penting pasukan. Dia adalah enjin kami, seperti lokomotif dan dia memberikan kami kuasa,” kata pengendalinya, Adam Nawalka.

Sementara itu, pengendali Switzerland, Vladimir Petkovic juga tidak begitu bimbang dengan prestasi Shaqiri, yang mencetak hatrik ketika menentang Honduras pada Piala Dunia dua tahun lalu, biarpun setakat ini gagal menjelmakan kemahiran menggelecek dan percubaan jarak jauh yang sinonim dengannya.

“Pemain yang gemar bermain secara individu pasti bergelut pada kejohanan ini. Saya berpuas hati kerana Xherdan bukannya individualistik buat masa ini, sebaliknya dia pemain berpasukan,” kata Petkovic.

“Dia memberikan segala-galanya untuk pasukan dan itu apa yang perlu dilakukannya. Apabila pasukan bermain baik, semua orang mendapat keuntungan.”

ARTIKEL YANG SAMA