Lewandowski tidak sedar lakar sejarah

Lewandowski tidak sedar lakar sejarah

BERLIN, 23 Sept (AFP) – Robert Lewandowski mengakui langsung tidak mengetahui betapa pantas jaringan diciptanya selepas meledak lima gol dalam tempoh sembilan minit ketika Bayern Munich membelasah Wolfsburg 5-1 dalam saingan Bundesliga, semalam.

Secara rasmi, penyerang berusia 27 tahun itu meledak kelima-lima gol itu hanya dalam tempoh lapan minit 59 saat selepas dimasukkan selaku pemain gantian pada babak kedua ketika Bayern ketinggalan 1-0 di Allianz Arena.

Rembatan menarik pemain Wolfsburg, Daniel Caligiuri meletakkan pelawat di depan sebelum Lewandowski merekod sejarah baharu Bundesliga termasuk menjaringkan hatrik dalam tempoh tiga minit 19 saat.

“Saya tidak mempunyai idea betapa pantas hatrik saya, mungkin lima minit?,” katanya kepada Sky Jerman sebelum diberitahu masa rasmi jaringan itu. “Okay, ia lebih pantas daripada itu.”

Ia adalah persembahan terbaik buat bekas pemain Borussia Dortmund itu selepas menjaringkan empat gol ketika menewaskan Real Madrid 4-1 pada separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah 2013.

Lewandowski merembat gol ketiga untuk Bayern Munich pada perlawanan divisyen satu Bundesliga di Munich pada 22 September 2015. – AFP
Lewandowski merembat gol ketiga untuk Bayern Munich pada perlawanan divisyen satu Bundesliga di Munich pada 22 September 2015. – AFP

“Untuk menjaringkan empat gol pada separuh akhir Liga Juara-Juara adalah amat penting dan cerita yang hebat dalam kerjaya saya, namun untuk menjaringkan lima gol bermakna ia adalah petang yang penting untuk saya,” katanya.

Pengendali Bayern, Pep Guardiola juga seakan tidak mempercayai apa yang dilihatnya selepas Lewandowski meledak gol kelima menerusi voley pada minit ke-60.

“Saya tidak pernah mempunyai sebarang pengalaman mengenai perkara seperti ini sepanjang hidup saya! Lima gol dalam sembilan minit! Wow,” kata Guardiola. “Saya juga tidak pernah melihat perkara seperti itu sebelum ini.”

Lewandowski dalam pada itu berkata tugasnya adalah untuk menjaringkan gol ketika berada di dalam padang.

“Saya hanya mahu merembat dan terus merembat. Ketika ketinggalan 0-1, saya perlu sekurang-kurangnya menjaringkan dua gol,” katanya.

Ini kali pertama dalam sejarah perlawanan Bundesliga menyaksikan seorang pemain yang dimasukkan selaku pemain gantian berjaya menjaringkan liga gol. Kali terakhir seorang pemain meledakkan lima gol dalam satu perlawanan Bundesliga ialah pada 1991 yang dibuat Michael Toennies ketika Duisburg mencatat kemenangan 6-2 ke atas Karlsruhe.

ARTIKEL YANG SAMA