Li Bingbing giat kuasai Bahasa Inggeris

AKTRES asal Wuchang, China, Li Bingbing sekali lagi diberi peluang untuk beraksi di dalam sebuah filem produksi antarabangsa, Guardians of The Tomb yang bakal menemui penonton filem di negara ini Februari depan.

Selain itu, Li Bingbing turut sama terlibat di dalam filem aksi fiksyen ini ialah aktor, Kellan Lutz, Wu Chun, Kelsey Grammer dan ramai lagi.

Li Bingbing menyifatkan peluang beraksi di dalam filem termahal produksi China- Australia ini merupakan pengalaman bermakna, apatah lagi ia menjadi antara portfolio seni BingBing berlakon di dalam sebuah produksi mega selepas Resident Evil: Rertribution dan Transformers: Age of Extinction lebih tiga tahun lalu.

Bagi selebriti luar yang mahu mencipta nama di pasaran Hollywood, pastinya kepetahan di dalam berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris menjadi antara tiket penting dalam meluaskan pengaruh.

Sama seperti beberapa rakan industri lain yang masih belajar untuk menguasai bahasa tersebut dengan baik, dia juga turut melakukan perkara sama, lebih-lebih lagi filem terbarunya itu turut memerlukannya untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris.

Li Bingbing terus giat menguasai Bahasa Inggeris demi mengukir nama di persada seni Hollywood.

“Saya tidak nafikan, penguasaan Bahasa Inggeris menjadi antara yang terpenting, lebih-lebih lagi apabila berpeluang berlakon dengan produksi luar. Selain kita akan lebih mudah untuk memahami dan menjiwai watak yang diberikan, ia juga akan memudahkan kita untuk berkomunikasi dengan pihak krew produksi.

“Saya masih lagi belajar dan mujurlah, lakonan saya yang terdahulu ada membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Ibarat ‘memaksa’ saya untuk lebih sedar kepentingan bahasa tersebut,” katanya yang dipetik menerusi sebuah temu bual.

Pada masa sama, aktres yang mula menjengah dunia seni sekitar tahun 1994 ini juga memberitahu pada peringkat awal, dia agak malu untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris kerana bimbang apa yang disampaikan itu salah dan mungkin akan ditertawakan.

Namun, persepsi tersebut nyata berbeza apabila pihak krew produksi banyak membantu dan mengakui penguasaan Bahasa Inggerisnya sangat baik ketika di set penggambaran filem Resident Evil: Retribution lalu.