Libasan takraw bakal bermula

Libasan takraw bakal bermula

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Kejohanan Sepak Takraw Piala NBT ke-5 tahun 2016 anjuran Persatuan Sepak Takraw Kebangsaan Brunei Darussalam (PESTABARU) akan bermula pada 1 Mei 2016 di Kompleks Sukan Menglait.

Perkara itu dikongsikan oleh Presiden PESTABARU, Pengiran Haji Ali Hassan bin PDSLJ Haji Abas ketika sidang media dan mesyuarat bagi ahli jawatankuasa pertandingan yang terdiri daripada jawatankuasa PESTABARU di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berkas, hari ni.

Di majlis itu Presiden PESTABARU, Pengiran Haji Ali Hassan mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada penaja iaitu NBT (B) Sdn Bhd kerana terus memberikan sokongan padu kepada PESTABARU untuk meneruskan siri kejohanan ini pada tahun ini.

“Saya percaya kita mampu menggilap bakat baru dan boleh mendapatkan lebih banyak pemain yang berpotensi untuk disalurkan kepada skuad kebangsaan di kejohanan di peringkat serantau dan antarabangsa bagi membawa nama negara ke kejohanan besar serantau ini atau di antarabangsa,” ujarnya.

Ahli-ahli jawatankuasa PESTABARU ketika mesyuarat berkenaan.
Ahli-ahli jawatankuasa PESTABARU ketika mesyuarat berkenaan.

Kejohanan antara regu itu merupakan siri ke-5 setelah ia mula diperkenalkan pada tahun 2011 dibukakan kepada semua jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, sekolah-sekolah, maktab-maktab, persatuan belia dan sukan, mukim-mukim dan kelab sukan seluruh negara.

Setiap pasukan perlu mempunyai lima orang pemain, seorang pengurus, seorang jurulatih dan penyertaan tidak terhad kepada satu pasukan sahaja bagi mana-mana kelab atau organisasi yang berhasrat untuk menyertai kejohanan itu.

Sementara itu, mesyuarat pengurus pasukan dan cabutan undi perlawanan akan diadakan 29 April 2016 di Pejabat PESTABARU di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 27 April 2016 pada jam 4 petang dan borang penyertaan boleh didapati daripada Haji Zaman bin Haji Samat di talian 8825580 atau Haji Abu Bakar bin Kassim di talian 8820464.

ARTIKEL YANG SAMA