Libasan takraw pantai bermula

Libasan takraw pantai bermula

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Pasukan Sengkurong membuka tirai Kejohanan Sepak Takraw Pantai Kebangsaan bagi tahun 2016 di Kompleks Sukan Menglait dengan kemenangan mudah ke atas Pasukan Sekolah Sukan dengan mata 2-0, hari ini.

Sementara itu, Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei ‘A’ tampil pemenang perlawanan menentang Pasukan Muara Spurs dengan kutipan mata 2-1, Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei memenangi set pertama dengan mata 21-9 sebelum ditebus semula Muara Spurs di set kedua dengan kemenangan 17-21 untuk memaksa pasukan lawan ke set penentuan.

Namun begitu pada set penentuan perlawanan pertama pada sebelah petang itu menyaksikan Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei gah dengan kejayaan membenam Pasukan Muara Spurs dengan mata 21-15.

Perlawanan ketiga hari ini menyaksikan satu lagi Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei iaitu pasukan ‘C’ nya yang terpaksa akur dengan kehebatan Pasukan Brunei 88 ‘A’ meskipun perlawanan terpaksa ditentukan di set penentuan.

Antara aksi ketika perlawanan pertama di antara Pasukan Sengkurong menentang Pasukan Sekolah Sukan ‘A’.
Antara aksi ketika perlawanan pertama di antara Pasukan Sengkurong menentang Pasukan Sekolah Sukan ‘A’.

Brunei 99 ‘A’ menang di set pertama dengan mata 21-18 sebelum tewas di set kedua dengan mata 21-14 dan menang di set penentuan untuk melangkah ke peringkat seterusnya pada 31 Mei ini dengan mata 21-18.

Perlawanan terakhir menyaksikan Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei ‘B’ menang mudah ke atas Pasukan Cari Makan dengan mata 2-0 setelah menang di set pertama dengan mata 21-13 dan di set kedua dengan mata 21-14.

Pada 31 Mei ini nanti, Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ‘A’ akan menentang Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei ‘A’, Pasukan Sengkurong akan berhadapan Pasukan Brunei 88 ‘A’ sementara Pasukan Sekolah Sukan ‘B’ akan berhadapan Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei ‘B’.

Perlawanan terakhir peringkat pertama akan menyaksikan perlawanan di antara Pasukan Brunei 88 ‘B’ menentang Pasukan Triple H dan pemenang perlawanan ini akan berhadapan Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ‘B’ di peringkat suku akhir.

Terdahulu, perlawanan pertama dalam kejohanan hari ini diundi oleh tetamu kehormat majlis iaitu Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Awang Azizul Azri bin Haji Majit sejurus selepas ucapan Presiden Persatuan Sepak takraw Kebangsaan Brunei Darussalam (PESTABARU), Pengiran Haji Ali Hassan bin Dato Seri Laila Jasa Pengiran Haji Abbas di awal majlis pembukaan rasmi kejohanan berkenaan.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengurus Pemasaran Istylo Marketing Network, Haji Yusof Haji Ahmad selaku penaja pakaian PESTABARU bagi menjayakan kejohanan anjuran bersama PESTABARU dengan Jabatan Belia dan Sukan itu.

ARTIKEL YANG SAMA