Libat diri dalam masyarakat dengan aktiviti keagamaan

Libat diri dalam masyarakat dengan aktiviti keagamaan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Nov – Seramai 47 pelajar lelaki Pra U1 Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) terlibat dengan Program Hijrah ‘Minal Madrasah Ilal Masjid’ yang berlangsung di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis, Madang, hari ini.

Program berkenaan merupakan salah satu aktiviti pengukuhan Amali Ibadat yang dipelajari di sekolah dan memberi peluang kepada para pelajar melibatkan diri dengan masyarakat dalam aktiviti keagamaan.

Ia merupakan yang julung-julung kali diadakan tahun ini setelah kejayaan program serupa di Masjid Ash-Shaliheen pada 26 Zulhijjah 1434H bersamaan dengan 31 Oktober 2013M.

Antara objektif program adalah untuk menjinakkan hati dan jiwa pelajar dengan masjid, melahirkan pelajar yang cintakan Allah dan Rasul-Nya, melibatkan pelajar dengan masyarakat dalam aktiviti keagamaan dan memupuk budaya kerja berkumpulan dalam kalangan pelajar sebelum mereka menceburkan diri ke alam pekerjaan.

Antara pelajar yang menyertai program berkenaan.
Antara pelajar yang menyertai program berkenaan.

Pelajar yang menjadi sasaran program ialah pelajar Pra U1 dan yang memegang jawatan sebagai Majlis Pelajar serta semua guru lelaki yang berkaitan dengan keselamatan dan kesejahteraan pelajar.

Antara agenda pada majlis itu termasuk sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, ceramah oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, penyampaian cenderahati dan wakaf sebelum diteruskan dengan membaca 30 juzuk Al-Quran.

Para pelajar turut terlibat dengan Qiamullail, sembahyang sunat Iftitah, Tahajud dan Taubat sebelum sembahyang Fardu Subuh berjemaah yang kemudiannya disusuli dengan bacaan Surah Al-Kahfi, sembahyang Doha, senamrobik dan membersihkan kawasan masjid.

ARTIKEL YANG SAMA