Libatkan diri dalam aktiviti keagamaan

Libatkan diri dalam aktiviti keagamaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Bahagian Kokurikulum, Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Program Minal Madrasah Ilal Masjid (bermaksud Program dari Sekolah ke Masjid) bagi memberi peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri dengan masyarakat dalam aktiviti keagamaan.

Program yang disertai 50 orang pelajar asrama itu juga merupakan salah satu aktiviti pengukuhan Amali Ibadah yang dipelajari di sekolah, menurut kenyataan yang dikeluarkan SMALHB, hari ini.

Diadakan di Masjid Universiti Brunei Darussalam, program berkenaan antara lain berobjektif untuk melahirkan pelajar yang cintakan Allah dan RasulNya, di samping itu juga mendekatkan hati dan jiwa pelajar dengan masjid.

Program telah dimulakan dengan solat fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, bacaan Surah Yasin dan Tahlil serta bacaan Surah Al-Mulk dan Al-Waqi’ah, sebelum diteruskan dengan penyampaian cenderahati dan wakaf oleh Pemangku Pengetua SMALHB, Hajah Norjainah binti Haji Buntar kepada Imam Masjid UBD, Haji Jupri bin Haji Hidup.

Antara aktiviti yang dilakukan pada program tersebut.
Antara aktiviti yang dilakukan pada program tersebut.

Seterusnya, para pelajar mengerjakan Qiyamullail dengan menunaikan solat sunat Tahajjud dan Taubat, solat subuh berjemaah dan bacaan Surah Al-Kahfi, kemudian, para pelajar juga menghadiri Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Haji Jupri.

Acara pagi pula dimulakan dengan senaman ringan dan seterusnya solat sunat Dhuha, manakala itu, sebelum program berakhir, para pelajar turut bergotong-royong membersihkan dalam dan luar Masjid.

Pihak sekolah berharap, program ini dapat mencapai objektifnya serta memupuk budaya kerja berkumpulan kepada para pelajar sebelum mereka menceburkan diri ke alam pekerjaan.

ARTIKEL YANG SAMA