Libatkan diri dalam kerjaya pilihan anak

Libatkan diri dalam kerjaya pilihan anak

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 4 April – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah disarankan agar melibatkan diri dan menjadi panduan hidup kepada pelajar-pelajar dalam membantu anak-anak mereka membuat keputusan bijak apabila memilih bidang pelajaran di peringkat tinggi yang ingin diceburi, agar selari dan memenuhi keperluan kerjaya di kementerian-kementerian yang ada di negara ini.

“Sebagai ibu bapa, mereka perlu mengetahui serta mengikuti permintaan pasaran kerja di negara ini,” tekan Pegawai Pelajaran, Dayang Siti Hajar binti Haji Khamis dari Unit Kaunseling dan Kerjaya, Kementerian Pendidikan ketika ditemui semasa acara Eksplorasi Kerjaya dan Hala Tuju yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA), Kuala Belait, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga berpendapat bahawa minat mendalam seseorang pelajar terhadap sesuatu bidang pelajaran yang mereka ingin ceburi juga sama penting supaya mereka benar-benar boleh mengambil kesempatan daripada pengalaman ketika belajar di luar negara dengan biasiswa daripada kerajaan.

“Kadangkala kami (Unit Kaunseling) mendapat tahu akan segelintir ibu bapa yang membuat keputusan bagi anak-anak mereka akan bidang pelajaran mana yang mereka patut ambil apabila melanjutkan pelajaran mereka di tahap tinggi, namun kami percaya keputusan tersebut haruslah seimbang dengan mengambil tahu minat anak-anak mereka terhadap bidang pelajaran yang mereka ingin ceburi.”

Para ibu bapa dan anak-anak, tambahnya, perlu mengambil masa dan peluang pada acara-acara hari kerjaya seperti yang diadakan di SMSA itu bagi mengenal pasti dan berbincang sesama sendiri akan bidang pelajaran yang akan mendatangkan banyak peluang pekerjaan atau bagaimana bidang pelajaran yang anak-anak mereka pilih akan dapat mendatangkan manfaat kepada mereka apabila tamat pengajian nanti.

Para pelajar tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat lanjut daripada wakil-wakil yang hadir pada acara Eksplorasi Kerjaya dan Hala Tuju di Sekolah Menengah Sayyidina Ali.
Para pelajar tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat lanjut daripada wakil-wakil yang hadir pada acara Eksplorasi Kerjaya dan Hala Tuju di Sekolah Menengah Sayyidina Ali.

pg08_160405_b

Justeru itu, beliau juga menyarankan para ibu bapa dan anak-anak mereka untuk mengikuti program kaunseling untuk ibu bapa di mana mereka akan dapat berbincang bersama-sama bagi membuat keputusan yang bijak.

“Program Kaunseling ini juga akan dapat mengajar anak-anak mereka kemahiran hidup yang diperlukan apabila tinggal bersendirian semasa belajar di luar negeri.

“Dengan kemahiran hidup ini juga akan dapat meningkatkan pengetahuan mereka mengenai tempat di mana mereka akan melanjutkan pelajaran tinggi serta mempelajari cara-cara untuk hidup berdikari,” tambahnya lagi.

Eksplorasi Kerjaya dan Hala Tuju yang dianjurkan oleh Jabatan Kerjaya dan Pengajian Tinggi, SMSA dengan kerjasama Unit Kaunseling dan Kerjaya, Kementerian Pendidikan itu dibukakan untuk pelajar-pelajar SMSA dan institusi swasta di Daerah Belait.

Objektif utama acara itu termasuk memberi peluang kepada para pelajar untuk mempertimbangkan pelbagai pilihan dalam pendidikan tinggi dan kerjaya masa depan, serta peluang untuk bertanya soalan ke agensi-agensi yang berkaitan seperti syarat kemasukan untuk memohon biasiswa ke pengajian tinggi.

Menerusi acara itu juga, para pelajar berpeluang mendengar ceramah daripada agensi terpilih yang akan menggalakkan mereka untuk mempelajari lebih lanjut mengenai setiap institusi, dan melihat pilihan kerjaya yang ditawarkan oleh pelbagai kementerian.

Lebih 20 buah agensi mengikuti acara itu termasuk institusi pengajian tinggi seperti Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei, Politeknik Brunei, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan juga daripada sektor swasta seperti Micronet dan Kemuda Institut.

Juga hadir ialah wakil jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Bahan Ukur, Kejururawatan, Pergigian, Pelancongan dan Pertanian.

Ini juga termasuk US Education, British Council, Austrade, Suruhanjaya Tinggi Australia yang menyampaikan maklumat pendidikan alternatif di luar negara.

Acara ini merupakan program yang memberi tumpuan kepada keperluan pelajar Pra-U manakala ‘Hala Tuju’ lebih tertumpu kepada keperluan pelajar-pelajar di sekolah menengah.

ARTIKEL YANG SAMA