Liechtenstein mangsa amukan Dzyuba

Liechtenstein mangsa amukan Dzyuba

VADUS, 10 Sept – Rusia membelasah Liechtenstein 7-0 dengan Artem Dzyuba meledak empat jaringan sekali gus membolehkan mereka berada di landasan tepat untuk ke pusingan akhir Euro 2016 di Perancis tahun depan.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut sejak Russia dikendalikan jurulatih baru, Leonid Slutskiy.

Kejayaan itu meletakkan Rusia di tangga kedua Kumpulan G, dua mata di depan Sweden selepas pasukan itu tewas 4-1 di tangan Austria yang mengesahkan tempat untuk ke Perancis.

Di dorong semangat selepas menang ke atas Sweden awal pagi Ahad lalu, Rusia yang sedar peluang mereka semakin cerah bermain cemerlang dan menguasai perlawanan ketika menentang skuad kerdil berkenaan.

Penyerang Zenit St Petersburg Dzyuba membuka jaringan pada minit ke-21 apabila menerima hantaran Roman Shirokov sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan dua pemain Liechtenstein walaupun mereka merebahkan badan di atas garisan gol.

Pemain midfield Liechtenstein, Nicolas Hasler (kanan) bersaing dengan pemain midfield Rusia, Oleg Shatov pada perlawanan di Stadium Rheintal di Vaduz. – AFP
Pemain midfield Liechtenstein, Nicolas Hasler (kanan) bersaing dengan pemain midfield Rusia, Oleg Shatov pada perlawanan di Stadium Rheintal di Vaduz. – AFP

Dzyuba sekali lagi hampir menambah jaringan 40 minit kemudian tetapi pergerakannya dihalang Daniel Kaufmann walaupun penjaga gol Peter Jehle sudah tertewas.

Akibatnya, Kaufmann dilayangkan kad merah dan Alexander Kokorin menyempurnakan penalti bagi membolehkan Rusia menggandakan kelebihan.

Rusia menjadikan kedudukan 3-0 sebelum rehat apabila Dzyuba menghasilkan gol peribadi kedua menerusi rembatan jarak dekat.

Dia melengkapkan hatrik yang juga gol keempat Rusia pada minit ke-73 hasil hantaran Dmitri Kombarov.

Pemain gantian Fedor Smolov menambah gol pada minit ke-77 sebelum Alan Dzagoev meledak gol kelima pasukannya.

Dzyuba melengkapkan gol keempat yang juga keenam pasukan pada hujung permainan sebelum Dzagoev mencetak nama selaku penjaring ketujuh sejurus sebelum wisel penamat dibunyikan. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA