Lifestream Organic buka kedai

Lifestream Organic buka kedai

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Lifestream Organic, yang merupakan kedai menjual barang-barang runcit organik, membuka pintunya untuk para pelanggan di negara ini dengan majlis pembukaan rasminya yang berlangsung di kawasan Setia Kenangan 2, Kiulap, di sini, hari ini.

Pembukaan kain rentang yang menutupi papan tanda kedai tersebut bagi menandakan pembukaan rasminya telah dilakukan oleh pekerja Lifestream Organic dan disaksikan oleh pemilik serta Pengurus Lifestream Organic, Jacinta Yau dan ibunya, Cecilia Lim.

Kedai berkenaan merupakan kedai pertama yang menawarkan barangan runcit 100 peratus organik di negara ini.

Dalam temu bual bersama Jacinta Yau mengenai kedai tersebut, beliau menjelaskan, kedai ini menyediakan produk makanan organik bagi mereka yang ingin memulakan pengamalan pemakanan sihat.

“Dengan pembukaan kedai ini, ia bukan sahaja akan dapat membantu memudahkan para pelanggan yang mencari barangan runcit organik malah juga untuk menyebarluaskan dan meningkatkan lagi kesedaran terhadap cara hidup sihat,” ujarnya.

Pelanggan mula memenuhi kedai tersebut.
Pelanggan mula memenuhi kedai tersebut.
Cecilia Lim (kiri) dan Jacinta Yau (kanan) setelah menyaksikan kain rentang dibuka dari papan nama kedai tersebut.
Cecilia Lim (kiri) dan Jacinta Yau (kanan) setelah menyaksikan kain rentang dibuka dari papan nama kedai tersebut.

Beliau menambah, kini pelbagai penyakit yang dihidapi orang ramai terutama sekali apabila meningkatnya usia, disebabkan cara pemakanan yang kurang sihat atau pengambilan pemakanan yang berawet.

“Makanan organik mampu membantu pengamalnya mengurangkan risiko penyakit-penyakit popular masa kini, seperti kanser, masalah buah pinggang, kencing manis dan sebagainya yang sebilangannya disebabkan oleh pemakanan barangan berawet (preservatives),” jelasnya lagi.

Ditanya dari mana produk beliau didatangkan, jelasnya kebanyakan produk yang terdapat di kedai tersebut datang dari Malaysia, dengan sumber-sumber dari Eropah.

Sempena dengan pembukaan rasmi kedai itu, para pelanggan yang datang dan berbelanja sehingga $50 ke atas akan menerima kad keistimewaan yang membolehkan pelanggan mendapatkan diskaun 10 peratus selama-lamanya.

Kedai runcit organik yang pertama itu terletak di No.4, Lantai Bawah, Blok C, Setia Kenangan 2, Kiulap dan dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 8 malam setiap hari kecuali pada hari Jumaat ditutup bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.

ARTIKEL YANG SAMA