Liga 3 Penjuru terus meriah

Liga 3 Penjuru terus meriah

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Kejohanan Liga 3 Penjuru 11 Orang Sepasukan anjuran Jabatan Bandaran, Bandar Seri Begawan 2015/16 diteruskan lagi hari ini dengan PTC FT menentang Flywheel FC di Padang Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Perlawanan tersebut didominasi oleh PTC FT pada separuh masa pertama sehingga menghasilkan gol pada minit ke-12 hasil jaringan Arif Sarifuddin bin Haji Mohd Salleh.

Pada minit ke-27, PTC FT menambah jaringan untuk menggandakan pendahuluan dengan jaringan Awangku Azwandy bin Pengiran Haji Othman. Keputusan 2-0 kekal sehingga separuh masa pertama.

Flywheel FC yang memanfaatkan lima pemain gantian sebelum separuh kedua dimulakan ternyata membuahkan hasil apabila pemain gantian, Salim bin Haji Salleh menjaringkan gol melalui sepakan penalti pada minit ke-6 separuh masa kedua.

Sesi bergambar ramai pasukan PTC FT (jersi putih) dan Flywheel FC (jersi biru hitam) sebelum perlawanan Kejohanan Liga 3 Penjuru 11 Orang Sepasukan dimulakan.
Sesi bergambar ramai pasukan PTC FT (jersi putih) dan Flywheel FC (jersi biru hitam) sebelum perlawanan Kejohanan Liga 3 Penjuru 11 Orang Sepasukan dimulakan.

Pada minit ke-18 separuh masa kedua, Flywheel FC berjaya menyamakan kedudukan 2-2 melalui jaringan Salim bin Haji Salleh sekali lagi.

Tiga minit sebelum wisel penamat, Flywheel FC mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan selepas dihadiahkan satu lagi sepakan penalti kerana kekasaran yang dilakukan oleh pemain pertahanan PTC FT sehingga mencederakan Salim bin Haji Salleh di dalam kotak.

Namun sepakan tersebut disia-siakan oleh Flywheel FC dan keputusan tersebut kekal seri 2-2 sehingga tamat.

Aksi seterusnya ialah antara SP Satu Yunait-Ideu menentang Komersial United pada Ahad ini, juga di tempat yang sama.

ARTIKEL YANG SAMA