Liga Belia Kebangsaan Bawah 16 Tahun buka tirai

Liga Belia Kebangsaan Bawah 16 Tahun buka tirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) melalui Jabatan Perkembangan Bolasepaknya buat pertama kalinya akan menganjurkan Liga Belia Kebangsaan Bawah 16 Tahun yang dijangka akan bermula pada 1 Mei nanti.

Penganjuran antara lain bertujuan untuk menyediakan platform bagi jurulatih tempatan dan pengadil muda untuk meraih pengalaman, di samping menggalakkan pegawai-pegawai, jurulatih dan pemain mencapai tahap kesukanan yang lebih baik dengan tingkah laku yang adil.

Setiap pasukan dikehendaki menghantar sekurang-kurangnya lapan orang pemain dalam satu kumpulan dan permainan akan menggunakan format robin. Peserta juga mestilah terdiri daripada mereka yang lahir pada tahun 2000,2001 dan 2002. Bagi yang lahir 2003 ke atas, kebenaran haruslah diperolehi terlebih dahulu dari Jabatan Teknik sebelum membuat pendaftaran.

Warga tempatan dan penduduk tetap atau pelajar luar yang menuntut di sekolah antarabangsa Brunei Darussalam adalah layak untuk menyertai pertandingan tersebut.

Pendaftaran akan dibuka mulai 6 hingga 16 April ini nanti. Untuk mendapatkan borang penyertaan atau sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai bolehlah mengunjungi kelab NFABD semasa waktu bekerja mulai Isnin hingga Jumaat.