Liga Bolasepak Brunei dan Muara labuh tirai

Liga Bolasepak Brunei dan Muara labuh tirai

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Penganjuran Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015 yang telah bermula sejak September 2015 akan berakhir malam ini dengan perlawanan terakhir pusingan akhir antara MSN United FC dengan Al-Idrus Junior FT.

Sehubungan dengan itu, Yang Di-Pertua Pertubuhan Bolasepak Daerah Brunei dan Muara (PBDBM), Haji Juned bin Haji Ramli melahirkan rasa gembira beliau di atas kerjasama kuat daripada kalangan ahli jawatankuasa PBDBM kerana telah berjaya mengurus dan mengatur semua perlawanan liga berkenaan.

“Di kesempatan ini saya menaruh setinggi-tinggi harapan kepada Naib Yang Di-Pertua 1 PBDBM, Haji Mohd Noor bin Haji Hamid selaku pengerusi liga ini yang telah bertungkus lumus menyelesaikan liga ini dengan jayanya.”

Beliau juga tidak lupa untuk merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Setiausaha Agung PBDBM yang telah berusaha bersungguh-sungguh menangani liga itu dengan teratur dan sempurna.

“Kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) PBDBM yang lain juga saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha yang telah membantu mengungkayahkan perjalanan liga ini dengan semangat setiakawan,” tambahnya.

Haji Juned ketika ditemui merakam penghargaan kepada semua yang terlibat.
Haji Juned ketika ditemui merakam penghargaan kepada semua yang terlibat.

Haji Juned seterusnya menujukan ucapan terima kasihnya kepada semua pengurus pasukan yang telah menyertai liga itu serta para pengawas kompleks sukan tempat liga diadakan iaitu Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Kompleks Sukan Berakas dan Kompleks Sukan Sungai Kebun.

“Terima kasih juga kepada Setiausaha Persatuan Pengadil Bolasepak Daerah Brunei dan Muara, Haji Omar bin Haji Sapar yang telah mengaturkan bagi perkhidmatan pengadil di sepanjang liga dijalankan.”

Di akhir perbualan, Haji Juned melahirkan rasa bangga atas sokongan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, NFABD dan Persatuan Pengadil Bolasepak Daerah Brunei dan Muara.

ARTIKEL YANG SAMA