Liga Europa: Liverpool, Spurs mara, Monaco tersingkir

Liga Europa: Liverpool, Spurs mara, Monaco tersingkir

PARIS, 11 Dis (AFP) – Liverpool dan Tottenham Hotspur layak ke pusingan kalah mati Liga Europa sebagai juara kumpulan masing-masing ketika Fiorentina, Marseille dan Anderlecht juga mara ke pusingan 32 pasukan terakhir.

Bagaimanapun dua wakil England itu – akan menyertai undian untuk pusingan seterusnya bersama Manchester United selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara – melengkapkan peringkat kumpulan dengan gaya berbeza.

Selepas melalui kempen yang bagus dalam Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur mara ke kedudukan teratas Kumpulan J dengan mengatasi Monaco menerusi kemenangan 4-1 di White Hart Lane.

Erik Lamela menjadi wira skuad Spurs, dengan pemain Argentina itu meledak hatrik pada babak pertama untuk meletakkan skuad Mauricio Pochettino berada dalam kelas tersendiri sebelum Stephan El Shaarawy mendapatkan satu gol buat pelawat.

Tom Carroll menambah gol keempat buat Tottenham selepas itu dan mara bersama Anderlecht, yang menewaskan Qarabag 2-1 di Brussels sebelum itu.

Sementara itu, pasukan suku akhir musim lalu Monaco tersingkir daripada saingan. Liverpool mara ke peringkat kalah mati itu selaku juara kumpulan B selepas seri 0-0 berdepan Sion dalam saingan di Switzerland.

Skuad Jurgen Klopp sudah layak lebih awal sebelum ini, sekali gus pengendali dari Jerman itu memberi kesempatan kepada Kolo Toure, Divock Origi dan pemain pertahanan kiri Brad Smith memulakan perlawanan dengan lawan mereka memerlukan mata untuk mengesahkan kemaraan ke kelompok 32 pasukan terakhir itu.