Liga Futsal Berprestij Bakal Bermula

Liga Futsal Berprestij Bakal Bermula

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Takaful Brunei Darussalam rasmi menjadi penaja utama Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 yang akan membuka tirainya pada malam 29 April ini dengan perlawanan Piala Sumbangsih antara Kota Junior dengan BIO FT.

Pengesahan itu berlaku selepas selesainya Majlis Penandatanganan Perjanjian Tajaan antara Takaful Brunei Darussalam dengan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) yang berlangsung di NFABD House petang ini.

Hadir menyaksikan penandatanganan bersejarah buat liga futsal kebangsaan tahap tertinggi berkenaan ialah Pemangku Pengarah Urusan Takaful Brunei Darussalam, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya.

Menandatangani bagi pihak Takaful Brunei Darussalam ialah Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporatnya, Pengiran Mohammad Suffri bin Pengiran Hashim dan Timbalan Pengarah Urusannya, Mohammad Suffian bin Haji Mohammad Salleh.

Haji Shahrildin (tengah) menyaksikan Haj Madli (dua kiri) dan Pengiran Mohd Suffri bertukar dokumen perjanjian berkenaan.
Haji Shahrildin (tengah) menyaksikan Haj Madli (dua kiri) dan Pengiran Mohd Suffri bertukar dokumen perjanjian berkenaan.

Sementara NFABD diwakili oleh Pemangku Timbalan Presidennya, Haji Madli bin Haji Mohammad Yussof dan Pemangku Setiausaha Agongnya, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Bukan itu saja, liga berkenaan turut mendapat tajaan 20 biji bola futsal untuk perlawanan daripada Wafidania Enterprise, yang secara rasminya telah disempurnakan penyerahannya oleh Pengarah Urusan Wafidania Enterprise, Haji Idris bin Haji Abdul Hamid kepada Haji Madli.

Haji Madli dalam ucapannya antara lain menyebutkan tajaan Takaful Brunei Darussalam itu sangat tinggi nilainya ke arah mempertingkat dan memajukan sukan futsal negara ke tahap tertinggi sehingga setara dengan negara-negara lain di rantau ini.

Menurutnya, liga berkenaan dan Liga Perdana Futsal 2016 yang akan turut dijalankan tahun ini akan menjadi medan NFABD mengenal pasti pemain berbakat untuk diserapkan ke pasukan kebangsaan bagi mewakili negara ke kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa.

Dalam sidang media selepas itu, Pemangku Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali mendedahkan kejohanan terdekat yang negara perlu bersiap menghadapinya ialah Kejohanan Futsal AFF 2016 Oktober nanti.

Menurutnya para pemain berkenaan akan dipilih daripada pemain-pemain yang bermain dalam liga berkenaan termasuk pasukan yang ditubuhkan oleh NFABD, Brunei Futsal B23 dan Brunei Futsal B19 di bawah Projek Pembangunan Futsal NFABD.

Ketua Ahli Jawatankuasa Teknikal, Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016, Haji Hamidon bin Haji Matzin pula mendedahkan bahawa tiga pasukan terbaik liga berkenaan masing-masing akan menerima piala iringan dan pingat serta wang tunai $3,000, $2,000 dan $1,000.

Dua anugerah individu turut disediakan iaitu pemain terbaik dan penjaring terbanyak, tambahnya.

Sebelas buah pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super berkenaan ialah juara bertahan, Kota Junior, juara Piala Perdana Futsal TelBru 2015, BIO FT, PBDB FT, Street United FT, Shah United FC, Rizfiz FT, First Five FT, MS ABDB, Arbisyam FC, Pega Star FT dan Brunei Futsal B23.

Perlawanan Piala Sumbangsih antara BIO FT dengan Kota Junior pada 29 April ini akan bermula pada pukul 8:00 malam. Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang beramai-ramai bagi menyaksikan pertemuan dua juara yang dijangka hebat berkenaan. Masuk adalah percuma.

ARTIKEL YANG SAMA