Liga Futsal Brunei bercorak baru

Liga Futsal Brunei bercorak baru

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Sejarah akan dilakar lagi dalam sukan futsal di negara ini apabila NFABD hari ini mengumumkan bahawa mulai tahun depan, Liga Futsal Brunei (BFL) edisi 2016 akan mengandungi dua divisyen iaitu “Liga Super Futsal 2016” dan “Liga Perdana Futsal 2016”.

Pemangku Setiausaha Agung merangkap Pengarah Pertandingan NFABD, Haji Abdul Razak bin Hasbullah berkata, sejumlah 20 buah pasukan akan bersaing dalam Piala Perdana Futsal 2015 yang dijadualkan berlangsung Ogos hingga Oktober 2015.

Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Pengurus Pasukan dan Pengundian Piala Perdana Futsal 2015 petang ini di NFABD House berkata, pasukan-pasukan itu telah dibahagikan kepada lima buah kumpulan, A-E, dengan setiap kumpulan mengandungi empat pasukan.

Terundi dalam Kumpulan A ialah Samba FT, BMB FT, 1st Five dan PES, sementara dalam Kumpulan B ialah Hi Tune SC, Creativol, NJP FT dan Bio FT.

Kumpulan C mengandungi Star Madang, LSCB, Kilugos FC dan Eagle Blues, manakala Kumpulan D diisi oleh Kota Ranger FT, MBS United SC, Azmainshah dan J.W. FT.

Pengurus Bio FT ketika melakukan undian sambil disaksikan Haji Abdul Razak (2 dari kanan) dan AJK Kejohanan yang lain.
Pengurus Bio FT ketika melakukan undian sambil disaksikan Haji Abdul Razak (2 dari kanan) dan AJK Kejohanan yang lain.

Bersaing dalam Kumpulan E ialah Hawa FT, TelBru, 12 Brothers SC dan DST FC. Dua pasukan finalis Piala Perdana Futsal 2015 akan diserap secara automatik untuk menyertai Liga Super Futsal 2016, sementara enam dari lapan pasukan yang berjaya mara sehingga ke suku akhir Piala Perdana Futsal 2015 (iaitu tolak dua pasukan finalis) akan bersaing dalam Liga Perdana Futsal 2016.

Dengan NFABD membuat penstrukturan baru iaitu hanya 10 pasukan akan bersaing dalam setiap divisyen, maka empat pasukan terbawah daripada 12 buah pasukan yang sedang bersaing dalam BFL 2015 akan bermain dalam Liga Perdana Futsal 2016 sementara selebihnya lapan pasukan teratas akan bersaing dalam Liga Super Futsal 2016.

Lima pasukan juara kumpulan dalam saingan Piala Perdana Futsal 2015 akan terus masuk ke peringkat suku akhir, sementara lima pasukan naib juara kumpulan dan sebuah pasukan ketiga terbaik akan bersaing dalam pusingan kedua untuk mencari tiga lagi pasukan untuk mengisi tiga slot suku akhir.

Hadiah-hadiah yang disediakan bagi empat pasukan terbaik Piala Perdana Futsal 2015 ialah wang tunai $1,500, piala iringan dan pingat emas untuk juara, wang tunai $1,000, piala iringan dan pingat perak untuk naib juara, wang tunai $500, piala iringan dan pingat gangsa untuk tempat ketiga dan piala iringan sahaja untuk tempat keempat.

Antara agenda mesyuarat hari ini termasuklah penerangan daripada Jawatankuasa Kejohanan berkaitan syarat dan peraturan perlawanan dan borang-borang yang perlu diisi oleh pasukan, undian pasukan, pengesahan pendaftaran pemain, penerangan dari Persatuan Pengadil yang berkenaan dan hal-hal lain.

Piala Perdana Futsal 2015 anjuran NFABD berkenaan akan mengambil tempat di dua tempat iaitu Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) dan Dewan Serbaguna, KSNHB.

Kejohanan tersebut antara lain bertujuan mencungkil bakat dan potensi di kalangan pemain untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan untuk latihan di peringkat belia dan senior.