Liga Futsal Takaful bermula

Liga Futsal Takaful bermula

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 dibuka rasmi malam ini dengan tendangan penalti oleh Pengerusi Syarikat Takaful Brunei Darussalam, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud.

Yang Dimuliakan Pehin turut mencabut undian untuk perlawanan kedua malam ini dan kertas yang beliau undi menunjukkan perlawanan kedua itu ialah Pega Star FC lawan Street United FT.

Perlawanan pembuka tirai malam ini adalah antara Juara Liga Futsal Brunei (BFL) 2015, Kota Junior dengan Juara Piala Perdana TelBru 2015, BIO FT, yang berkesudahan 7-1 memihak Kota Junior.

Liga kali ini mendapat tajaan daripada Syarikat Takaful Brunei Darussalam sebagai penaja utama, manakala bola-bola perlawanan ditaja sepenuhnya oleh Syarikat Wafidania Enterprise.

Yang Dimuliakan Pehin ketika bersiap sedia melakukan tendangan penalti sebagai simbolik membuka rasmi Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016.
Yang Dimuliakan Pehin ketika bersiap sedia melakukan tendangan penalti sebagai simbolik membuka rasmi Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016.

Antara lain matlamat liga ini diadakan adalah untuk menaikkan mutu sukan futsal di negara ini dengan menyediakan liga yang mendapat pengiktirafan AFC dan FIFA, serta memilih pemain berbakat untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan bagi menghadapi kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa.

Hadir sama ialah Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Haji Madli bin Haji Mohammad Yussof, Pemangku Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Pemangku Pengarah Urusan Takaful Brunei Darussalam, Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya.

Sebelas pasukan bersaing merebut kejuaraan Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 iaitu Kota Junior, Shah United FC, Arbisyam FC, MS ABDB, PBDB FT, Rizfiz FT, Street United FT, Pega Star FC, BIO FT, First Five FT dan NFT.

ARTIKEL YANG SAMA