Liga Juara-Juara hambar tanpa United – Mourinho

Liga Juara-Juara hambar tanpa United – Mourinho

MANCHESTER, 10 Ogos – Jose Mourinho menganggap saingan Liga Juara-Juara pada musim ini sebagai ‘kosong’ tanpa kehadiran Manchester United.

Walaupun pernah dua kali merangkul gelaran itu dalam versi terkini dan tiga secara keseluruhannya, United gagal melayakkan diri ke pertandingan utama Eropah itu buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Pengurus baharu United, Mourinho berharap mampu memperbaiki rekod mengecewakan itu pada kempen Liga Perdana Inggeris ini ketika mendedahkan Liga Juara-Juara kehilangan tarikan tanpa pasukan di Old Trafford itu.

“Manchester United perlu berada dalam Liga Juara-Juara,” katanya kepada BT Sport. “Saya fikir Liga Juara-Juara seperti hilang tarikan dan kosong apabila United tiada.

“Cuba bayangkan Liga Juara-Juara tanpa United, Real Madrid dan Barcelona. Terdapat beberapa kelab yang menyebabkan Liga Juara-Juara tidak sempurna tanpa mereka. Itulah Manchester United.”

Penamat kedudukan kelima pada musim lalu menyebabkan United sekadar menempah tiket ke Liga Europa pada kempen ini – keputusan yang mahu diubah Mourinho pada masa depan tatkala dia memburu kejuaraan.

“Saya tidak akan gembira jika kami hanya menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik.” – Agensi