Liga Juara-Juara: Man United temu Club Bruges

Liga Juara-Juara: Man United temu Club Bruges

NYON, Switzerland, 7 Ogos (Reuters) – Kelab Inggeris, Manchester United menempah laluan sukar apabila diundi bertemu kelab Belgium, Club Bruges pada pusingan play-off Liga Juara-Juara Eropah selesai sesi undian, hari ini.

Begitupun, Man United yang menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di kedudukan keempat berjaya mengelak lawan yang lebih sukar iaitu Lazio, CSKA Moscow ataupun Monaco.

Kelab Itali, Lazio dijadualkan bertemu kelab Jerman, Bayer Leverkusen dalam usaha untuk kembali beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara selepas kali terakhir melakukannya pada musim 2007-08.

Antara pertembungan membabitkan dua pasukan besar ialah membabitkan kelab Sepanyol, Valencia yang dijadual menentang Monaco dengan kedua-duanya mara ke peringkat suku akhir, musim lalu.

Kelab Portugal, Sporting akan bertemu kelab Russia, CSKA manakala Rapid Vienna yang mengejutkan juara empat kali, Ajax Amsterdam di peringkat sebelum ini diundi bertemu kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk.

“Bola sepak Belgium ketika ini berada di kedudukan teratas dan kami memiliki dua pemain Belgium di dalam skuad yang sering mengikuti apa yang berlaku di sana,” kata Setiausaha Man United, John Alexander.

“Kami mengharungi sebarang permainan dengan keyakinan. Kami mahu berfikir kami mampu menjuari kejohanan,” katanya. Bekas juara Eropah, Celtic pula diundi bertemu kelab Sweden, Malmo.

Kelab Albania, Skenderbeu yang mensasarkan untuk muncul kelab pertama negara itu mara ke peringkat kumpulan diundi bertemu juara Croatia, Dinamo Zagreb.

Kelab Kazakhstan, Astana pula diundi bertemu kelab Cyprus, APOEL. Perlawanan timbal balik pertama dijadualkan pada 18 dan 19 Ogos ini manakala perlawanan kedua pada 25 dan 26 Ogos.

ARTIKEL YANG SAMA