Liga-M musim 2016 kekal 24 pasukan

Liga-M musim 2016 kekal 24 pasukan

PETALING JAYA, 7 Mei (Bernama) – Jumlah pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim 2016 kekal dengan 24 pasukan iaitu masing-masing 12 dalam Liga Super dan Liga Perdana walaupun pengelolaan liga itu diambil alih oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata jadual semasa liga itu agak ketat dan beliau tidak melihat pasukan tambahan akan meningkatkan keceriaan dalam sukan bola sepak tempatan.

Pada Januari lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menandatangani perjanjian dengan syarikat hak media sukan, MP & Silva untuk membentuk FMLLP yang menjana keuntungan berjumlah RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun.

“Saya melihat keghairahan dalam kalangan peminat untuk melihat lebih banyak pasukan mengambil bahagian khusus dalam Liga Super tetapi kita harus faham liga semasa adalah padat,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada pengurus dan jurulatih berhubung penstrukturan semula Liga-M 2016 di bawah FMLLP, di Petaling Jaya, Rabu.

“Bagaimanapun, pada masa depan, sekiranya dapat susun kalender yang boleh menampung lebih banyak pasukan dalam satu liga tunggal, mungkin ia akan dipertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah menjelaskan, hampir sebahagian besar wakil pasukan yang hadir pada taklimat berkenaan bersetuju dengan penstukturan baharu Liga-M di bawah FMLLP dalam usaha untuk memastikan liga berkenaan dapat diswastakan sepenuhnya menjelang 2016.

Beliau berkata badan induk itu bekerjasama rapat dengan pasukan kelab dan negeri dalam memastikan proses pelesenan dalam kalangan pasukan bertanding dapat dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Perkara itu tidak akan berjalan serentak namun kita yakin akan mengambil masa selama beberapa tahun sebelum kelab (dan pasukan negeri) dapat memenuhi kriteria (ditetapkan) untuk proses pelesenan itu,” kata Afandi.

Menerusi penstrukturan berkenaan, sebuah badan khas di bawah FMLLP yang dikenali sebagai Kongres Liga bertanggungjawab terhadap perjalanan Liga-M selain pelaksanaan polisi liga termasuk penggunaan pemain import bagi pasukan yang bertanding.

Tiga badan utama akan menjadi pemegang saham di bawah Kongres Liga iaitu pasukan Liga Super dan Perdana selaku rakan; FAM sebagai Rakan Pengurus manakala MP& Silva bertindak selaku Rakan Khas.