Liga Perdana ACC B-19, Malaysia benam UAE

Liga Perdana ACC B-19, Malaysia benam UAE

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) – Malaysia bangkit daripada kekalahan kepada Nepal semalam, untuk menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di kejohanan kriket Liga Perdana ACC Bawah 19 Tahun, pada Selasa.

Skuad negara menang dengan 5 wickets selepas melakukan 59 larian dalam 14 overs di Kelab Aman Oval, di sini. Tuan rumah pantas mematikan cabaran lawan mereka yang cuba bangkit selepas melakukan 53 larian dalam 20.3 overs.

Ketika giliran Malaysia menjadi pemukul, bowler UAE, Yodhin Punja hampir menggugat kelebihan pasukan negara tetapi Pemain Terbak Perlawanan, Syed Aziz Syed Mubarak yang melakukan 32 larian, berjaya menambah 12 larian lagi untuk memastikan kejayaan tuan rumah.

Jurulatih negara, Thushara Prabath Kodikara yang tidak berpuas hati dengan aksi anak buahnya ketika membuat pukulan, berkata pemain perlu bekerja lebih keras untuk memastikan kejayaan apabila menentang juara bertahan, Afghanistan dalam perlawanan terakhir mereka, Khamis ini.

“Pemain beraksi dengan buruk ketika menentang Nepal semalam dan kami mengadakan perbincangan di bilik persalinan sebaik tamat perlawanan itu, bagi merancang apa yang perlu dilakukan untuk pertemuan hari ini.

“Kami sudah biasa dengan keadaan gelanggang ini, dan sebab itu memilih lawan untuk melakukan pukulan terlebih dahulu dan mengambil kesempatan daripada kelebihan tersebut untuk mematikan cabaran mereka.

“Pemain beraksi dengan cukup baik hari ini. Tapi ketika memukul.. mereka mengecewakan saya. Kita mempunyai pemukul yang baik tapi gagal menonjolkan bakat sebenar dan saya harap mereka akan tampil lebih baik pada Khamis ini,” katanya.