Liga profesional tubuh persatuan baru

Liga profesional tubuh persatuan baru

PARIS, 2 Dis (AFP) – Sekumpulan liga bola sepak profesional dari seluruh dunia memutuskan untuk menubuhkan ‘Persatuan Liga Dunia’ berikutan mesyuarat yang diadakan di Paris, kata presiden Liga Bola Sepak Profesional Perancis (LFP) semalam.

Liga-liga Inggeris, Perancis dan Sepanyol disertai 20 lagi liga yang lain dari seluruh dunia bekerjasama rapat dengan badan induk bola sepak dunia, FIFA, yang dicemari skandal. Persatuan baru itu akan berkuat kuasa Januari depan.

“Liga–liga profesional dari seluruh dunia mahu menyertai pembangunan semula FIFA dan institut bola sepak,” kata Presiden LFP, Frederic Thiriez.

Dia menambah perkara penting adalah untuk memastikan liga–liga profesional ‘terlibat dalam proses membuat keputusan’.

Keputusan itu dibuat berikutan mesyuarat pada Forum Liga Dunia di Paris semalam, yang dihadiri oleh empat daripada lima calon untuk mengambil alih jawatan presiden FIFA pada pilihan raya Februari depan untuk menggantikan penyandang jawatan sekarang yang digantung, Sepp Blatter.

“Bola sepak tidak mati tetapi institusi antarabangsanya dalam keadaan sakit,” tambah Thiriez, yang merujuk kepada skandal rasuah yang melanda FIFA sekarang.

“Dan kami percaya dengan pengalaman yang kami ada dalam menguruskan bola sepak setiap hari di negara kami, kami boleh membawa pengalaman kami untuk membantu membangunkan semula FIFA.”