Liga Remaja B-16 terima tajaan FIFA

Liga Remaja B-16 terima tajaan FIFA

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Julai – Liga Remaja Bawah 16 Tahun (B-16) NFABD mendapat suntikan hebat apabila bukan saja menerima AS$50,000, bahkan setiap pemain dari 10 pasukan yang menyertainya menerima tajaan kelengkapan bola sepak jenama Adidas tajaan FIFA. Kelengkapan itu meliputi 20 pasang kasut, 20 pasang pelindung betis, 20 biji bola, 18 set baju, seluar dan stokin pemain, dua set baju, seluar dan stokin penjaga gol, dua set sarung tangan penjaga gol, dua set bib dan dua set beg bola.

Menyempurnakan penyerahan bersejarah itu di NFABD House kelmarin ialah Pegawai Pembangunan Teknikal FIFA untuk Asia Tenggara dan Asia Timur, Lim Kim Chon dan Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Haji Mohiddin bin Pengiran Badarudin. Lim Kim Chon dalam ucapannya mendedahkan hanya dua buah negara di Asia yang mempunyai liga bolasepak B-16 dan Brunei Darussalam merupakan negara pertama di Asia yang berjaya memulakannya yang telah bermula Mei lalu, diikuti oleh Guam seminggu yang lalu.

Beliau memuji perkembangan berterusan dan pantas pemain muda di negara ini berkat usaha semua pihak di NFABD, agensi kerajaan yang berkenaan, para penaja dan media, yang menurutnya boleh disaksikan dengan kejayaan pasukan B-16 Brunei Darussalam menyaingi pasukan Thailand dalam Kejohanan Remaja B-16 AFF baru-baru ini sehingga hanya tewas 0-1 kepada pasukan pilihan itu. Lim Kim Chon menegaskan peri pentingnya untuk sesebuah negara itu memiliki liga bolasepak domestik di setiap peringkat umur, maka langkah NFABD menganjurkan Liga Remaja B-16 NFABD adalah langkah maju ke depan.

Berkat kejayaan perlaksanaan pusingan pertama liga berkenaan dari Mei sehingga sebelum Ramadan yang lalu telah berjaya membuka ‘hati’ FIFA untuk menghulurkan tajaan USD50,000 dan kelengkapan Adidas berkenaan kerana FIFA sesungguhnya sangat menyokong perkembangan bolasepak remaja, ujarnya lanjut.

Pengiran Haji Mohiddin dan Lim Kim Chon ketika menyerahkan tajaan FIFA kepada Ketua Pasukan dan Jurulatih PERDA FC.
Pengiran Haji Mohiddin dan Lim Kim Chon ketika menyerahkan tajaan FIFA kepada Ketua Pasukan dan Jurulatih PERDA FC.
Ketua Pasukan Jurulatih Rimba Star FC ketika menerima kelengkapan Adidas tajaan FIFA dari Pengiran Haji Mohiddin dan Lim Kim Chon.
Ketua Pasukan Jurulatih Rimba Star FC ketika menerima kelengkapan Adidas tajaan FIFA dari Pengiran Haji Mohiddin dan Lim Kim Chon.

Untuk menghadapi kejohanan peringkat serantau dan antarabangsa, seseorang pemain kebangsaan itu perlu memiliki ‘jam bermain’ perlawanan kompetitif yang banyak dan itu akan dapat dicapai menerusi liga domestik yang disertai sepuluh pasukan atau lebih, tambahnya.

“Itu sangat penting ke arah mempersiap mental dan fizikal para pemain terutamanya pemain muda. Oleh kerana itulah FIFA memberikan sokongannya dengan menyumbangkan tajaan kelengkapan dan kewangan untuk lebih memajukan lagi bolasepak remaja di mana-mana negara kerana remajalah masa depan bolasepak kita.”

Sepuluh pasukan yang bersaing dalam Liga Remaja B-16 NFABD 2016 ialah Tabuan A, Tabuan B, Al-Idrus Jr, BESA FC, BTC Red Star, Kasuka FC, Kilanas Jr FC, PERDA FC, Projek Ikan Pusu (P.I.P.) dan Rimba Star FC.

Menurut Pengiran Haji Mohiddin, sebanyak 45 perlawanan pusingan pertama sudah pun dijalankan sedari awal Mei 2016 dan berkat kejayaan itulah FIFA menganugerahkan tajaan berkenaan.

“Bukan itu saja, para ketua jurulatih dan penolong jurulatih setiap pasukan berpeluang untuk mempertingkat kejurulatihan bolasepak mereka menerusi Kursus Kejurulatihan FIFA pada Ogos ini, manakala September nanti pula akan diadakan Kursus Pengadil khusus bagi liga remaja,” katanya lanjut.

Hadir sama ke majlis penyerahan tajaan berkenaan ialah Penolong Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong, Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali dan EXCO NFABD.