Liga Super kembali lagi

Liga Super kembali lagi

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – IKLS FC memastikan ia terus berada satu tangga di atas Lun Bawang apabila menjinakkan pasukan dari Temburong itu 4-1 malam tadi ketika kancah Liga Super DST 2015 disambung semula selepas puasa dan Hari Raya Aidilfitri.

IKLS FC kekal di tangga ketujuh Liga Super DST 2015 dengan sembilan mata daripada lapan perlawanan, lima mata di atas Lun Bawang yang baru bermain enam kali dan hanya satu mata di bawah pasukan di tangga keenam, Tabuan Muda dan pasukan di tangga kelima, Jerudong FC.

Aksi di Kompleks Sukan Berakas itu menyaksikan IKLS FC sudah awal mendahului 1-0 ketika perlawanan baru bermula dua minit menerusi jaringan Abdul Hafiz bin Azmin, namun separuh masa pertama berakhir 1-1 setelah Zaimi bin Awat menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-37.

IKLS FC kembali di depan apabila mengulangi kejayaannya menembusi gawang lawan seawal permainan dengan jaringan kedua yang turut terhasil dua minit selepas sepak mula, kali ini pada babak kedua, yang disumbangkan oleh Awangku Mohd Wafri bin Pengiran Mohd Jefri.

Safwan Amaluddin bin Sabli mencetak gol ketiga IKLS FC untuk mengukuhkan pendahuluan pasukannya kepada 3-1 pada minit ke-69.

IKLS FC (hitam) berjaya meraih tiga mata selepas menjinakkan Lun Bawang 4-1 semalam.
IKLS FC (hitam) berjaya meraih tiga mata selepas menjinakkan Lun Bawang 4-1 semalam.

Dua minit kemudian IKLS FC semakin selesa mendahului apabila giliran Zool Hasbemi bin Haji Bahmin pula mencatat namanya dalam senarai penjaring, merubah kedudukan kepada 4-1, yang ternyata kekal sehingga perlawanan tamat.

Najip I-Team kekal mengemudi Liga Super DST 2015 dengan 18 mata daripada sembilan permainan, tiga mata di depan Indera SC dan MS ABDB, yang kedua-duanya mengumpul mata maksimum dari lima perlawanan masing-masing.

Perlawanan seterusnya bagi Liga Super DST 2015 ialah malam ini iaitu antara Tabuan Muda dengan Wijaya FC di Kompleks Sukan Tutong dan Indera SC lawan Jerudong FC di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. Kedua-dua perlawanan akan bermula jam 8:15 malam.

ARTIKEL YANG SAMA