Liga TDAFA bermula 25 Sept

Liga TDAFA bermula 25 Sept

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 18 Sept – Liga Persatuan Bolasepak Amator Daerah Tutong (TDAFA) akan dibuka rasmi pada 25 September 2015 di Kompleks Sukan Tutong (KST) dengan dua daripada 15 pasukan yang menyertainya akan bertarung sewaktu majlis pembukaan rasmi berkenaan iaitu MPK Bukit Panggal lawan Bang Dalam FC dari Kumpulan A.

Sehubungan itu, mesyuarat bersama pengurus-pengurus pasukan yang menyertai Liga TDAFA 2015 telah diadakan dan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua TDAFA, Haji Othman bin Haji Ghazali.

Antara agenda mesyuarat yang telah dibincangkan termasuklah penerangan mengenai syarat-syarat perlawanan, jadual perlawanan dan Majlis Perasmian Liga TDAFA 2015.

Cabutan undi bagi menentukan kumpulan masing-masing untuk setiap pasukan telah diadakan semasa mesyuarat dengan setiap pasukan diwakili sendiri oleh pengurus masing-masing.

Haji Othman (bersongkok) dan Haji Bujang (empat kanan) semasa mesyuarat para pengurus pasukan yang menyertai Liga TDAFA 2015.
Haji Othman (bersongkok) dan Haji Bujang (empat kanan) semasa mesyuarat para pengurus pasukan yang menyertai Liga TDAFA 2015.

Setelah undian dijalankan, lapan pasukan akan bersaing dalam Kumpulan A iaitu MPK Bukit Panggal, Bang Dalam FC, Kelugus FC, Perda FC, Belabau FFT, Kiudang Mungkom FC, Sinar FC dan Bamit FC. Sementara Kumpulan B akan menyaksikan pertarungan antara tujuh pasukan iaitu MPK Bendanu FC, PMS, Kebia FC, Tutong Hotspurs FT, Kamai Kiudang FC, 3PML dan Azmainshah.

Pengerusi Perlawanan, Awang Bujang bin Haji Japar menjemput dan mengalu-alukan orang ramai terutamanya para peminat bola sepak tanah air untuk hadir menyaksikan semua perlawanan Liga TDAFA 2015 bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan pilihan masing-masing.