LIGC tumpuan pemain golf ke Labuan

LIGC tumpuan pemain golf ke Labuan

Oleh Jailani Hasan

 

LABUAN, 13 Jan – Kelab Golf Antarabangsa Labuan (LIGC) semakin menjadi tarikan kepada mereka yang berkunjung ke pulau bebas cukai ini.

Bersandarkan kepada wawasan “Bermain Golf Dalam Suasana Alam Semula Jadi,” LIGC yang terletak di Jalan Sungai Pagar ini meliputi kawasan lebih 88 hektar.

Melihatkan kepada struktur landskap kelab, ianya bukan semata-mata memberi kepuasan kepada mereka yang kaki golf tetapi juga memenuhi keperluan eko-pelancongan termasuk pengunjung yang suka bersiar.

Pemain golf serta pengunjung ke LIGC juga dapat menikmati keindahan Kg Sg Miri dalam suasana matahari terbenam.

LIGC adalah milik Labuan Corporation dan dibina dengan kos RM30 juta oleh Labuan Corporation. Ia direka bentuk oleh pasukan pereka Saujana Scape & Greens Sdn Bhd secara kerjasama dengan pereka Australia yang terkemuka, Parslow & Winter Golf Course Design.

Salah seorang pemain golf mencuba sendiri padang golf tersebut. – Bernama
Salah seorang pemain golf mencuba sendiri padang golf tersebut. – Bernama

Sejak pembukaannya pada 2013, padang golf 18-lubang Par 72 ini menjadi pilihan di kalangan pemain golf sekitar Borneo.

LIGC turut menarik perhatian pemain golf terkemuka dari kelab golf Malaysia dan juga negara jiran, Brunei.

Menurut Setiausaha Kehormat LIGC, Ebno Suhaili, LIGC merangkumi wawasan Labuan yang menitik beratkan pembangunan kemanusiaan, sosial, alam sekitar dan ekonomi.

Ia juga melibatkan penyediaan rangka kerja untuk membangunkan permainan golf di Labuan dengan fokus menjadikannya satu sukan yang menyeronokkan bagi semua orang.

“Golf semakin menjadi popular di pulau ini tidak mengira golongan muda atau tua. Permintaan untuk kemudahan golf semakin meningkat.

“LIGC dijangka memberi sumbangan ekonomi yang amat berharga kepada industri percutian mewah serta hospitaliti di pulau ini.

“Kemudahan ini sudah tentu menarik minat ramai penduduk tempatan di samping mereka yang datang untuk bermain golf dan menambah tarikan pelancongan di Labuan,” kata beliau dalam wawancara dengan Bernama.

LIGC yang sudah menjadi satu mercu tanda Labuan mempunyai banyak kemudahan canggih untuk keperluan semua peringkat pemain golf tanpa mengira umur atau kemampuan seseorang.

Mereka yang baru berjinak dengan permainan golf serta kumpulan pemain profesional sudah pasti mendapati kelab ini amat menyeronokkan.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk lapangan golf berteknologi tinggi, kedai pro yang menawarkan set golf untuk disewa, bola golf baru/terpakai, kasut serta pakaian golf.

LIGC menawarkan cara baru untuk belajar bermain golf dan mereka yang datang ke kelab ini sudah tentunya dapat menikmati keseronokan bermain golf di kawasan yang mempunyai landskap yang indah.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan permainan golf ini atau yang mahu meningkatkan kemahiran pastinya akan berpuas hati dengan kemudahan berlatih yang disediakan.

“Direka bentuk dengan mengambil kira kebudayaan serta tradisi tempatan, LIGC juga menyediakan ruang khas untuk pemain golf wanita.

“LIGC komited untuk menjadi salah sebuah padang golf lestari di rantau ini dari perspektif alam sekitar dan sosial,” kata Ebno.

Sejak penubuhannya, LIGC telah menjalin hubungan dengan kelab ternama yang lain seperti Southlinks Country Club, Batam Indonesia, Padang Sukajadi, Batam, Indonesia, Royal Brunei Golf Club dan Pantai Mentiri Golf Club di Brunei.

Kelab golf lain termasuk Penang Golf Resort serta kelab lain di Sabah termasuk Dalit Bay Golf and Country Club, Kinabalu Golf Club serta Keningau Golf Club.

“Kami pasti LIGC akan memainkan peranan penting untuk mengembangkan permainan golf dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang, terutama di Labuan.

“Mana-mana pemain golf di kelab ini akan menghargai cabaran bermain di padang golf ini serta pemandangan alam sekitar yang menakjubkan.

“Kemudahan yang kami sediakan direka khas dan menjadikan permainan golf lebih mencabar. Memandangkan padang golf 18-lubang ini adalah satu-satunya di pulau ini, sudah tentu ia akan menjadi tarikan kepada pemain golf dalam dan luar negara,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA