Lihat lebih dekat pemprosesan Ambulong

Lihat lebih dekat pemprosesan Ambulong

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Bagi mengisi masa lapang musim cuti penggal persekolahan pertama yang telah bermula, Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Rendah Beribi Telanai telah mengungkayahkan aktiviti lawatan ke Kilang Pemprosesan Sagu di Kampung Ukong dan juga Tasek Merimbun.

Seramai 100 orang yang terdiri daripada pengerusi dan timbalan pengerusi PIBG, ibu bapa, guru-guru, para murid serta sukarelawan belia-belia Masjid Kampung Bunut telah menyertai lawatan itu, kelmarin.

Tujuan lawatan ini antara lain bagi mengisi masa percutian murid-murid dengan perkara-perkara yang berfaedah, memberikan pengetahuan dan pengalaman bermanfaat tentang kekayaan khazanah bumi Brunei Darussalam, di samping mengintegrasikan pengetahuan dan pengalaman murid-murid untuk keperluan mata pelajaran yang berkaitan seperti Social Studies, Science, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Selain itu, ia juga diharap dapat mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan kerjasama padu dalam kalangan guru dengan ibu bapa murid-murid.

Murid-murid sedang memegang hasil sagu yang telah siap dimesin.
Murid-murid sedang memegang hasil sagu yang telah siap dimesin.

Lawatan bermula di kilang pemprosesan sagu yang dimiliki oleh seorang penduduk di Kampung Ukong, di mana ahli-ahli rombongan mendengar penerangan serta menyaksikan sendiri proses pembuatan sagu menjadi ambulong. Malah, murid-murid juga diberi peluang untuk mencuba sendiri cara-cara proses pembuatan ambulong.

Lawatan diteruskan ke Tasek Merimbun di mana mereka dialu-alukan oleh beberapa orang pegawai yang bertugas di Galeri Taman Tasek Merimbun.

Rombongan diberikan penerangan berkenaan kepentingan-kepentingan yang terdapat di Taman Tasek Merimbun, khususnya dalam pemeliharaan flora dan fauna.

Selepas mendengar taklimat, semua peserta dibawa melawat ke Taman Kulimambang, seterusnya ke balai di mana mereka menyaksikan demonstrasi membuat tikar serta berpeluang mencuba membuat tikar mereka sendiri. Sebelum mengakhiri lawatan, rombongan telah dibawa mengelilingi kawasan tanaman herba yang terdapat di sana.

ARTIKEL YANG SAMA