Lihat lebih dekat perkhidmatan e-kerajaan

Lihat lebih dekat perkhidmatan e-kerajaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Okt – Orang ramai khususnya pengunjung ke Pameran TechXpo 2015 akan berpeluang untuk menyaksikan dan melihat dengan lebih dekat lagi barisan perkhidmatan e-kerajaan yang terkini yang akan diketengahkan di gerai pameran e-kerajaan, GOV.BN, semasa ekspo yang akan diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas bermula 22 hingga 25 Oktober.

Semasa ekspo empat hari itu, GOV.BN akan mengetengahkan pelbagai perkhidmatan e-kerajaan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi yang lebih mesra pengguna di mana antara perkhidmatan yang diketengahkan ialah e-darussalam, PSC Recruitment, JobCentre Brunei, BruHIMS, Talian Darussalam 123, Registry of Companies and Business Names, Geoportal, eSikap, House Numbering, Brunei WX, OnlineJPD serta iFlyBrunei.

Selain dari memperkenalkan perkhidmatan e-kerajaan itu, para pengunjung juga boleh mendapatkan penerangan dan bantuan mengenai cara menggunakan perkhidmatan berkenaan di mana mereka boleh mengakses akaun e-darussalam mereka, mendaftar, memuatnaikkan atau mengemaskinikan profil PSC Recruitment dan Job Centre Brunei.

Pameran GOV.BN merupakan salah satu usaha berterusan pihak kerajaan untuk memastikan bahawa orang ramai terus peka mengenai dengan keberkesanan dan pelaksanaan pelbagai perkhidmatan e-kerajaan yang ditawarkan kepada mereka.

TechXpo 2015 merupakan ekspo 4 hari, yang dianjurkan oleh InfoCom Federation Brunei (IFB), diurus oleh D’Sunlit Sdn Bhd dan disokong oleh Kementerian Perhubungan, Pihak Berkusa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) dan e-darussalam gov.bn, merupakan kali keempat ekspo teknologi terunggul Brunei itu diadakan di mana ia terus bermatlamat untuk mengetengahkan teknologi terkini dan akan datang oleh peserta tempatan dan antarabangsa.

Antara barisan perkhidmatan e-kerajaan yang akan berada di gerai pameran itu nanti.
Antara barisan perkhidmatan e-kerajaan yang akan berada di gerai pameran itu nanti.

Ekspo itu juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai perkembangan teknologi terkini dan pada masa yang sama, memberikan peluang kepada orang ramai untuk menikmati pelbagai tawaran eksklusif bagi produk-produk yang diketengahkan sepanjang ekspo itu.

ARTIKEL YANG SAMA