Lima bandar bersaing hos Olimpik 2024

Lima bandar bersaing hos Olimpik 2024

LONDON, 16 Sept (Agensi) – Dengan Toronto memutuskan untuk tidak membuat bidaan di saat-saat akhir, lima bandar kini sedia untuk mendapatkan hak penganjuran Sukan Olimpik 2024 apabila persaingan dibuka secara rasmi hari ini, meletakkan empat bandar Eropah beradu nasib dengan bekas hos dua kali dari Amerika Syarikat.

Tempoh akhir yang ditetapkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi mengemukakan bidaan tamat pada tengah malam semalam di Switzerland, menetapkan kempen selama dua tahun yang menyaksikan bidaan dari tiga bekas hos Olimpik iaitu Los Angeles, Paris dan Rom.

Jika tiada pemasukan lewat oleh Baku, ibu negara Azerbaijan, yang kemungkinan tidak berlaku, Presiden IOC Thomas Bach akan secara rasmi mengumumkan pencalonan lima bandar yang termasuk Hamburg, Jerman dan Budapest.

Semua lima bandar sudah pun menghantar surat kepada IOC mengisytiharkan permohonan bidaan mereka. Pada hari ini, IOC mengeluarkan kontrak bandar hos dan dokumen lain bagi penetapan proses bidaan, yang sudah pun diubah bagi menghapuskan birokrasi dan memastikan semua calon pergi ke pengundian akhir di Lima, Peru, pada September 2017.

Sementara itu Los Angeles yang menghoskan Sukan Olimpik 1932 dan 1984, serta Paris, yang menganjurkan sukan tersebut pada 1900 dan 1924, muncul sebagai calon terawal mengemukakan bidaan.

Los Angeles mencalonkan diri sebagai bakal hos dari Amerika Syarikat selepas bidaan Boston menemui kegagalan pada Julai di tengah-tengah kekurangan sokongan awam dan politik. Bandar di California itu membida untuk membawa Sukan Olimpik kembali ke Amerika Syarikat bagi kali pertama sejak Atlanta menghoskan Olimpik itu pada 1996.

Pada semalam, Jawatankuasa Olimpik AS mengeluarkan surat yang dihantar daripada Datuk Bandar Los Angeles Eric Garcetti kepada IOC awal bulan ini.