Lima cedera di hentian bas

Lima cedera di hentian bas

MOSCOW, 8 Dis – Seramai lima orang dipercayai mengalami kecederaan apabila bahan letupan buatan sendiri meletup di sebuah perhentian bas di tengah Moscow, menurut pihak berkuasa hari ini.

Alat itu meledak malam kelmarin di Jalan Pokrovka, sebuah kawasan moden di tengah Moscow yang didereti kelab-kelab malam dan restoran.

“Satu siasatan tindakan ganas telah dimulakan,” jurucakap polis Moscow, Maxim Kolosvetov memberitahu AFP.

Siasatan awal menunjukkan bahan letupan buatan sendiri itu, sama ada dilontar dari sebuah kereta atau bangunan kediaman berhampiran dan mencederakan ‘beberapa’ orang, kata seorang lagi jurucakap polis Moscow, Andrey Galiakberov kepada AFP.

Polis penyiasat Rusia memeriksa sebuah perhentian bas yang musnah dalam letupan di Jalan Pokrovka di tengah Moscow lewat kelmarin. - AFP
Polis penyiasat Rusia memeriksa sebuah perhentian bas yang musnah dalam letupan di Jalan Pokrovka di tengah Moscow lewat kelmarin. – AFP

Seorang jurucakap bagi jabatan kesihatan dewan bandar Moscow mengatakan secara berasingan yang empat orang telah menerima rawatan perubatan malam kelmarin dan tiga daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Orang kelima meminta bantuan pihak berkuasa dan dimasukkan ke hospital hari ini, katanya kepada AFP.

Kaca bertaburan dapat dilihat di stesen bas dan beberapa buah kereta polis, jentera bomba dan ambulans juga berada di tempat kejadian, lapor koresponden AFP dari tapak berkenaan malam kelmarin.

“Saya berada di perhentian bas dan tiba-tiba kami mendengar letupan kuat. Ia sangat mengerikan. Pada mulanya, saya fikir ada orang yang telah melepaskan tembakan jadi saya lari dari perhentian bas,” kata seorang wanita berusia 28 tahun yang dikenal pasti sebagai Ksenia kepada LifeNews. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA