Lima gol, amaran Bayern kepada Juventus

Lima gol, amaran Bayern kepada Juventus

BERLIN, 13 Mac (AFP) – Thomas Mueller dan Thiago Alcantara, masing-masing meledak dua gol tatkala pasukan pendahulu Bundesliga Bayern Munich sedang ‘memanaskan badan’ menjelang pertembungan Liga Juara-Juara di halaman sendiri berdepan Juventus minggu depan selepas membelasah Werder Bremen 5-0, semalam.

Dengan penghuni tangga kedua Borussia Dortmund dijadual berdepan Mainz awal pagi ini, barisan Pep Guardiola mengambil peluang berkenaan untuk menjarakkan kedudukan dengan lapan mata di hadapan.

“Orang ramai memikirkan mudah untuk menang 5-0 tetapi setiap perlawanan dianggap seperti final buat kami untuk terus berada di depan Dortmund,” kata Guardiola yang merehatkan bintang Belanda, Arjen Robben itu.

Bayern bakal melayan kunjungan Juventus Khamis ini selepas terikat 2-2 dalam timbal balik pertama pusingan 16 terbaik di Turin selepas mensia-siakan dua gol pendahuluan.

Thomas meraikan kejayaan bersama rakan sepasukannya selepas berjaya menjaringkan gol buat Bayern pada perlawanan menentang Werder Bremen. Bayern berjaya membelasah teruk Pasukan Werder dengan jaringan 5-0. - Reuters
Thomas meraikan kejayaan bersama rakan sepasukannya selepas berjaya menjaringkan gol buat Bayern pada perlawanan menentang Werder Bremen. Bayern berjaya membelasah teruk Pasukan Werder dengan jaringan 5-0. – Reuters

Bremen tiba Munich dengan bekalan kemenangan berturut-turut ke atas Bayer Leverkusen dan penghuni tangga tercorot Hanover, termasuk tanpa tiga tonggak utama mereka.

Penyerang veteran, Claudio Pizarro berdepan masalah pangkal paha manakala kapten pasukan Clemens Fritz dan pakar bola mati, Zlatko Junuzovic pula digantung perlawanan.

Bayern hanya memerlukan sembilan minit untuk mendahului permainan yang berlangsung di Arena Allianz Munich. Hantaran Kingsley Coman tepat menemui Thiago untuk jaringan pertamanya dalam aksi liga sejak Februari 2014 selepas dibelenggu kecederaan.

Mueller menjadikan keputusan kepada 2-0 pada minit ke-31 sebelum sekali lagi menyempurnakan jaringan pada minit ke-66.

ARTIKEL YANG SAMA