Lima kaki judi terima padah

Lima kaki judi terima padah

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 20 Sept – Padah menimpa lima lelaki yang sedang berjudi kerana dicekup polis selepas kegiatan mereka itu berjaya dihidu dalam satu serbuan di sebuah kedai minum di kawasan Kampung Babuluh, Tedungan di sini Ahad lalu.

Dalam serbuan jam 9.50 malam itu, lima suspek berbangsa Melayu, Iban dan Kedayan, berusia 20 hingga 42 tahun ditahan ketika sedang asyik berjudi.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata ketika serbuan dijalankan kesemua suspek sedang bermain judi jenis holo.

RAMPAS..Pelbagai peralatan judi holo dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan itu.
RAMPAS..Pelbagai peralatan judi holo dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan itu.

“Kita berjaya merampas pelbagai peralatan judi holo antaranya kain putih tertera gambar binatang yang digunakan untuk pertaruhan dan tiga biji dadu. “Turut dirampas adalah wang tunai RM170 dan Brunei Dollar BND55 selain tin pengoncang berwarna perak,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah diketuai Inspektor Mohd Hairie melakukan serbuan itu.