Lima kru bot dipercayai diculik – Polis

Lima kru bot dipercayai diculik – Polis

LAHAD DATU, 19 Julai – Polis tidak menolak kemungkinan lima kru yang hilang selepas sebuah bot tunda ditemui terdampar di perairan Dent Heaven, Tambisan semalam,menjadi mangsa culik.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata polis dan anggota keluarga belum menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan daripada mana-mana pihak.

Katanya lima kru tersebut adalah warganegara Malaysia iaitu lima dari Tawau dan seorang dari Felda Jengka, Pahang.

Mereka dikenali sebagai Abd Rahim Summas, 62, juragan bot dari Kampung Tanjung Batu, Tawau; empat kru bot iaitu Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau; Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Bandar Jengka, Pahang; Fandy Bakran, 26, dari Kampung Pukat Tawau dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.

“Kelima-lima kru yang dipercayai diculik tidak dapat dihubungi. Polis sedang menyiasat kes dan kejadian ini,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Antara kru bot yang dipercayai diculik menurut pihak polis. – Bernama
Antara kru bot yang dipercayai diculik menurut pihak polis. – Bernama

Abdul Rashid berkata bot tunda tersebut yang menggunakan pendaftaran Surudong 3 dengan lima kru telah menarik sebuah tongkang Surudong 4 dari Sandakan pada 8 pagi Ahad lepas dan menghala ke Semporna yang dijangka tiba pada 5 petang, semalam.

Katanya bot tunda dan tongkang itu adalah milik syarikat tempatan yang beroperasi di Tawau.

Menurutnya, pada pukul 2 petang semalam, sebuah bot tunda lain iaitu Sabah Tug 9 yang dalam perjalanan dari Jeroco Kretam Kinabatangan menuju ke Tawau telah ternampak bot tunda Surudong 3 dan tongkang Surudong 4 terkandas di beting pasir di perairan laut Dent Heaven berhampiran Tambisa dengan enjin masih hidup.

Beliau berkata curiga dengan keadaan tersebut, kapten bot tunda Sabah Tug 9 telah meng-hubungi majikannya mengenai penemuan bot tunda Surudong 3 dan tongkang Surudong 4 melalui telefon, sebelum meneruskan perjalanan ke Tawau.

Katanya pada hari yang sama, lebih kurang pukul 2.35 petang, dua bot laju Pasukan Polis Marin digerakkan ke lokasi penemuan bot tunda dan tongkang tersebut.

“Pemeriksaan mendapati enjin bot tunda masih hidup, kompas jurumudi tiada serta tiada seorang pun kru di dalamnya,” katanya.

Abdul Rashid berkata lokasi penemuan bot tunda dan tongkang tersebut terletak kira-kira 35 hingga 40 minit dari sempadan perairan antarabangsa.

Katanya beliau belum dapat mengulas lanjut mengenai kejadian itu disebabkan belum mendapat pengesahan sekiranya mangsa telah diculik.

Menurutnya anggota keluarga kru bot tersebut sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata bot tunda dan tongkang tersebut akan ditunda ke Pangkalan Polis Marin di sini hari ini. – Benama