Lima maut kenderaan terjunam ke dalam gaung

NEW DELHI, 12 Feb – Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala lima lagi cedera selepas sebuah kenderaan penumpang terjunam ke dalam gaung di negeri Uttarakhand yang terletak di utara India kelmarin, lapor agensi berita China Xinhua.

Nahas itu berlaku di daerah Uttarkashi yang berbukit, lebih 150 kilometer dari ibu negeri Dehradun, menurut polis tempatan.

“Pemandu hilang kawalan terhadap kenderaan itu yang dipandu laju ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain, yang menyebabkan nahas berlaku. Ketika lima mayat mangsa dikeluarkankan dari gaung berkenaan, lima lagi mangsa yang cedera parah telah dimasukkan ke sebuah hospital tempatan,” kata seorang pegawai kanan polis.

Kenderaan malang itu dalam perjalanan ke Lambgaon dari Uttarkashi.

Satu siasatan telah diarah dijalankan berhubung nahas itu, kata pegawai tersebut, yang menambah bahawa pemandu kenderaan terbabit sebelum ini pernah disaman kerana memandu secara melulu dan cuai. India mencatatkan antara jumlah kemalangan jalan raya maut tertinggi di dunia.

Kebanyakan nahas berlaku disebabkan gaya pemanduan atau keadaan jalan raya serta kenderaan yang teruk. – Bernama