Lima maut keracunan daging anjing

Lima maut keracunan daging anjing

PHNOM PENH, Kemboja, 9 Dis – Lima penduduk kampung di Kemboja meninggal dunia dan berpuluh-puluh yang lain jatuh sakit selepas memakan daging anjing yang sudah reput, di wilayah pedalaman di mana daging anjing dianggap sebagai makanan istimewa.

Kejadian keracunan tersebut bermula pada Ahad lepas selepas seorang lelaki berusia 76 tahun dipanggil Chea Reth membeli seekor anjing yang sudah mati daripada seorang penduduk lain.

Mangsa meninggal dunia beberapa jam kemudian selepas memasak dan memakan daging anjing tersebut, menurut Kong Kimny, gabenor daerah Snoul di timur laut wilayah Kratie tempat di mana insiden tersebut berlaku.

Namun lebih memburukkan lagi keadaan, para tetamu di majlis pengebumiannya pada hari yang sama turut memakan lebihan daging anjing berkenaan dan dikejarkan ke hospital akibat keracunan makanan yang teruk.

Menjelang petang Isnin empat orang lagi – dua lelaki dan dua wanita – meninggal dunia akibat keracunan, tambah pegawai itu.

“Penduduk di sini suka makan daging anjing tetapi sebelum ini belum pernah berlaku sebarang masalah,” katanya.

“Ini adalah kejadian keracunan pertama di daerah ini berpunca memakan daging anjing.”

Beliau berkata seramai 30 orang lagi penduduk dimasukkan ke hospital, dengan sembilan orang masih lagi memerlukan rawatan lanjut pada semalam.

Pihak berkuasa daerah menggesa semua penduduk kampung yang ada memakan daging anjing berkenaan agar segera ke hospital untuk pemeriksaan. – Agensi