Lima maut serangan dron AS di Yaman

Lima maut serangan dron AS di Yaman

ADEN, 12 Ogos – Serangan dron dipercayai milik Amerika Syarikat mengorbankan lima anggota pertubuhan yang ada kaitan dengan Al-Qaeda di tenggara Yaman yang merupakan kubu kuat kumpulan berkenaan, menurut pegawai setempat hari ini.

“Sebuah pesawat tanpa juruterbang melepaskan bedilan peluru berpandu ke atas kenderaan Al-Qaeda di Mukalla,” ibu negeri wilayah gurun Hadramawt, mengorbankan lima suspek militan, seorang pegawai memberitahu AFP.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memberikan maklumat lanjut atau identiti suspek.

Amerika Syarikat adalah negara tunggal diketahui menjalankan operasi menggunakan pesawat dron di Yaman, dan serangan oleh pesawat tanpa juruterbang itu berterusan sepanjang bulan ketika berlaku pertempuran di antara pasukan yang pro dan anti kerajaan serta serangan udara yang diketuai oleh Arab Saudi.

Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) mengambil peluang daripada keadaan huru-hara itu demi kemantapan pertubuhan mereka di Yaman, dengan merampas Mukalla pada April.

Saksi-saksi di bandar pelabuhan dengan lebih 200,000 penduduk itu baru-baru ini melaporkan peningkatan pengerahan militan AQAP, yang membuka banyak pos pemeriksaan keselamatan di seluruh Mukalla.

AQAP, dianggap oleh Washington sebagai rangkaian pelampau paling berbahaya, mengumumkan kematian komandernya, Nasir al-Wuhayshi di Yaman pada Jun, dalam serangan dron AS. Wuhayshi juga adalah pemimpin global kedua Al-Qaeda.

AQAP menjadi dalang di sebalik beberapa komplot ke atas sasaran Barat dan mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan ke atas pejabat majalah satira Perancis, Charlie Hebdo. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA