Lima negeri disenaraikan ‘bahaya’

BANDAR MEXICO, 11 jan – Lima negeri di Mexico kini mempunyai nasihat ‘jangan pergi’ di bawah sistem Jabatan Negara AS yang didedahkan semalam, meletakkan negeri-negeri itu berada pada tahap yang sama dengan negara dilanda perang seperti Syria, Yaman dan Somalia.

Lima buah negeri itu ialah Tamaulipas di sempadan AS dan Sinaloa, Colima, Michoacan dan Guerrero di pantai Pasifik. Kesemua negeri adalah kawasan tumpuan kegiatan kartel dadah, sama ada menjadi laluan perdagangan atau pertanian meluas tanaman dadah.

Jabatan Negara sebelum ini tidak menggalakkan perjalanan ke semua atau sebahagian negeri-negeri itu tetapi amaran baru adalah lebih tegas, yang meletakkan negeri-negeri itu berada pada tahap amaran 4, tahap tertinggi bagi sebarang kemungkinan bahaya.

Mexico secara keseluruhannya mempunyai penilaian tahap 2, yang bermakna warga Amerika harus mengamalkan ‘sikap lebih berwaspada’ ekoran kebimbangan terhadap jenayah. Tetapi tambahan 11 buah negeri Mexico mendapat amaran tahap 3 semalam, yang menggesa orang ramai untuk ‘menimbang semula perjalanan’ ke sana. Mexico mempunyai 31 buah negeri, separuh daripadanya kini berada di bawah amaran tahap 3 atau 4.

Gambar bertarikh 29 Jun 2017 menunjukkan tanda penyiasat yang menandakan bukti-bukti jenayah berdekatan mangsa yang maut akibat diserang di bandar Navolato, negeri Sinaloa, Mexico. – AP

Negeri-negeri itu yang mana rakyat Amerika digesa untuk menimbangkan semula perjalanan termasuklah Negeri Mexico – negeri paling ramai penduduk di Mexico, termasuk kebanyakan pinggir bandar Bandar Mexico dan Jalisco, di mana terletaknya bandar Guadalajara, resort Puerto Vallarta dan masyarakat ekspatriat di tepi tasik di Chapala dan Ajijic.

Tetapi nasihat perjalanan mengatakan ‘tidak ada pengetatan ke atas kakitangan kerajaan AS untuk tinggal di Guadalajara, Puerto Vallarta, Chapala dan Ajijic.”

Kebanyakan negeri di utara Mexico, termasuk negeri sempadan Chihuahua, Coahuila, Nuevo Leon dan Sonora serta Durango, Zacatecas dan San Luis Potosi, berada di bawah tahap 3 amaran. – AP