Lima pegawai masjid adakan lawatan ke S’pura, M’sia

Lima pegawai masjid adakan lawatan ke S’pura, M’sia

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April – Lima orang pegawai masjid Daerah Tutong, pagi tadi, telah berlepas ke Republik Singapura bagi mengikuti Program Lawatan Muhibah di Singapura dan Malaysia, yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong.

Program lawatan selama enam hari hingga 10 April itu telah diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Masri bin Haji Mohammad dan rombongan terdiri daripada Haji Aidil Sufian bin Mohd Yassin, Haji Junaidi bin Haji Sabtu, Haji Mahri bin Haji Metussin dan Awang Khairulariffin bin Haji Yusof.

Ia antara lain bertujuan bagi membina hubungan rapat antara pihak masjid-masjid di Malaysia, Singapura dan Indonesia, di samping dapat memupuk persefahaman dan kerjasama dalam pelbagai bidang khususnya bidang keagamaan.

Perlaksanaan program lawatan ini, natijahnya sedikit sebanyak akan dapat membantu pegawai memperolehi sumber maklumat yang berguna dalam melaksanakan pengurusan dan pentadbiran masjid, dan seterusnya memberikan pengalaman baru kepada pegawai yang terlibat.

Lima pegawai masjid Daerah Tutong yang berlepas ke Republik Singapura bagi membuat lawatan Muhibah selama enam hari.
Lima pegawai masjid Daerah Tutong yang berlepas ke Republik Singapura bagi membuat lawatan Muhibah selama enam hari.

Antara tempat yang akan dikunjungi termasuk beberapa buah masjid seperti Masjid Al-Falah (Singapura), Masjid Sultan (Singapura), Masjid Raya (Provinsi Riau), Masjid Baiturrahman (Provinsi Riau, Masjid Negeri Sultan Abu Bakar (Johor), Masjid Jame Kampung Melayu (Johor), Masjid Jamek (Kuala Lumpur) dan Masjid Putra Jaya (Selangor).

Adapun objektif lawatan ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara pegawai-pegawai masjid Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei, serta meningkatkan dan merangsang motivasi diri dalam kalangan pegawai-pegawai masjid, di samping menyemai semangat bekerjasama dalam sama-sama memakmurkan dan mentakmirkan masjid.

Selain itu, lawatan tersebut akan dapat memberi pengetahuan dan pengalaman baru kepada pegawai-pegawai masjid tentang perkembangan sosial, isu-isu semasa dan pembangunan semasa, meningkatkan dan menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman di pelbagai bidang khususnya dalam bidang hal ehwal masjid.

ARTIKEL YANG SAMA