Lima pegawai TUDB terima lencana juruterbang

Lima pegawai TUDB terima lencana juruterbang

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Lima orang pegawai tentera yang baru sahaja menamatkan latihan penerbangan mereka telah menerima lencana juruterbang masing-masing pada perhimpunan sederhana di Markas Tentera Udara Diraja Brunei, hari ini.

Lencana juruterbang telah disampaikan oleh Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Kolonel (U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah dengan disaksikan oleh ahli-ahli keluarga penerima, pada Upacara Penyampaian Lencana Juruterbang yang diketuai oleh Pegawai Memerintah No.73 Skuadron, Sekolah Latihan Penerbangan, No.7 Wing, Mejar (U) Pengiran Mohd Zulhusmi bin Pengiran Mohd Roslan.

Penerima-penerima lencana berkenaan terdiri daripada 964 Lt (U) Muhd Izdihar bin Haji Imran dan 975 Lt (U) Mohd Azhar bin Haji Mohd Mahathir, yang selesai menjalani latihan penerbangan sepenuhnya di No.73 Skuadron, Sekolah Latihan Penerbangan bertempat di Negara Brunei Darussalam.

Manakala itu, 993 Lt (U) Muhd Ali Sadiqqin bin Haji A. Murni, 999 Lt (U) Awangku Adri Firdaus bin Pengiran Haji Rakawi dan 1009 Lt (U) Mohd Syamim bin Roslan, telah menamatkan latihan penerbangan sepenuhnya di BAE Systems, Tamworth, Australia.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan majlis penyampaian lencana juruterbang, kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat serta sesi bergambar ramai.

Kolonel (B) Dato Seri Laila Jasa Jocklin bin Kongpaw yang merupakan juruterbang tempatan pertama Tentera Udara Diraja Brunei, juga hadir pada upacara tersebut.
Kolonel (B) Dato Seri Laila Jasa Jocklin bin Kongpaw yang merupakan juruterbang tempatan pertama Tentera Udara Diraja Brunei, juga hadir pada upacara tersebut.
Kolonel (U) Shahril Anwar ketika mengenakan lencana juruterbang.
Kolonel (U) Shahril Anwar ketika mengenakan lencana juruterbang.
Kelima-lima penerima lencana juruterbang berkenaan.
Kelima-lima penerima lencana juruterbang berkenaan.

Para graduan ini akan meneruskan kerjaya penerbangan operasi mereka di No.1 Wing.

Mejar (U) Pengiran Mohd Zulhusmi ketika ditemui berkata, kesemua pelatih juruterbang yang menerima lencana juruterbang ini, telah memasuki Sekolah Pegawai Kadet (OCS) sebelum menyertai skuadron penerbangan ini.

Setelah menyertai skuadron ini, mereka telah menjalani beberapa kursus-kursus, sebelum layak menerima lencana juruterbang tersebut.

“Secara keseluruhannya, saya berbangga sebagai seorang Pegawai Memerintah kepada kelima-lima individu yang terlibat. Menerima lencana juruterbang adalah sesuatu yang anda akan bawa di sepanjang kerjaya anda dan anda boleh kira menggunakan jari jumlah individu yang telah menerima lencana juruterbang ini, tidak banyak yang telah menerimanya.

“Oleh itu, ia merupakan suatu yang berprestij dan itulah sebabnya kita telah mengadakannya di Ibu Pejabat Utama ini,” jelasnya lagi selepas selesai Upacara Penyampaian Lencana Juruterbang berkenaan.

Salah seorang penerima lencana yang sempat ditemui pada upacara itu, Lt (U) Mohd Syamim melahirkan perasaan gembira dan bersyukur mendapat lencana juruterbang itu selepas kerja keras dan dedikasi selama beberapa tahun.

Manakala itu, Lt (U) Muhd Ali Sadiqqin yang akan pergi ke West Palm Beach, Florida pada malam ini bagi menjalani latihan simulator Sikorsky S-70i turut mengungkapkan perasaan gembiranya dan berkata, “Saya telah mengimpikan menjadi seorang juruterbang ini sejak dari kecil.

“Kepada semua orang di luar sana, jangan berputus asa dengan impian anda, teruskan mengejar impian anda, berusaha dengan gigih, belajar bersungguh-sungguh serta belajar dengan pintar tetapi beri tumpuan juga kepada apa yang anda mahu lakukan. Jika anda benar-benar suka apa yang anda lakukan, teruskan. Tiada siapa yang akan menghalang anda,” katanya lagi sebagai mesej kepada belia-belia.

ARTIKEL YANG SAMA