Lima pekerja cedera tiga kapal kayu terbakar

Lima pekerja cedera tiga kapal kayu terbakar

SANDAKAN, 15 Dis (Bernama) – Lima pekerja kapal cedera apabila tiga buah kapal kayu terbakar di perairan Batu Sapi dekat sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Haikal Jammy Ngali berkata tiga daripada pekerja melecur dan dihantar ke Hospital Duchess Of Kent.

Beliau berkata kebakaran pukul 3.01 petang itu melibatkan sebuah kapal yang membawa muatan 500 tong minyak petrol dan dua kapal awam yang berada kira-kira 200 meter dari daratan.

“Kebakaran pada mulanya melibatkan sebuah kapal yang berada berhampiran jeti, namun dilepaskan pemiliknya ke kawasan jauh daripada jeti lebih kurang 200 meter,” katanya ketika dihubungi Bernama.