Lima pelajar terima sumbangan

Lima pelajar terima sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Lima orang pelajar daripada dua buah keluarga yang menjadi mangsa musibah kebakaran di Kampung Masin (2 Oktober) dan Kampung Kilanas (5 Oktober), hari ini, telah menerima sumbangan derma daripada Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, pada majlis yang berlangsung di Sekolah Menengah (SM) Masin.

Penyampaian derma kepada pelajar-pelajar berkenaan, yang bersekolah di SM Sayyidina Hassan, SM Masin dan Sekolah Rendah Masin, telah disempurnakan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Haji Azis bin Haji Nayan.

Turut hadir ialah para pegawai dan kakitangan di Jabatan Sekolah-sekolah serta daripada sekolah-sekolah yang terlibat.

Sumbangan ini bertujuan untuk menyuntik semangat dalam pembelajaran mereka agar tidak terjejas terutama bagi yang akan menduduki peperiksaan GCE ‘O’ Level di samping sebagai dorongan dan galakkan kepada mereka.

Seorang pelajar menerima sumbangan daripada tetamu kehormat.
Seorang pelajar menerima sumbangan daripada tetamu kehormat.

Tindakan segera sekolah-sekolah berkenaan telah membolehkan para pelajar berkenaan mengikuti pembelajaran mereka dengan kelengkapan persekolahan yang mencukupi.

Sumbangan yang dihulurkan berupa peralatan sekolah, pakaian seragam dan buku-buku termasuk nota dan buku teks yang juga disumbangkan oleh pihak sekolah iaitu dari Unit Hal Ehwal Pelajar Sekolah dan sumbangan para guru mereka.

Selain itu, peralatan kebersihan diri dan pakaian harian juga disumbangkan oleh Jabatan Sekolah-sekolah.

Dengan adanya sumbangan ini, diharap para pelajar berkenaan akan dapat menguatkan lagi azam mereka untuk meneruskan pembelajaran setelah menempuhi musibah berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA