Lima pingat untuk direbut atlet M’sia

Lima pingat untuk direbut atlet M’sia

pg23_160812_olympic logo

RIO DE JANEIRO, 11 Ogos – Atlet Malaysia begitu bersemangat untuk menghasilkan lima lagi pi-ngat buat Malaysia susulan kejayaan pasangan penerjun Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menghadiahkan pingat pertama Malaysia di Rio.

Kejayaan mereka merangkul pingat perak dalam acara 10m platform serentak wanita menyemarakkan semangat atlet lain dalam acara terjun, badminton dan berbasikal.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan berkata beliau yakin dan percaya banyak lagi pingat bakal diperoleh dari acara terjun, badminton dan menerusi pakar berbasikal kerin Azizulhasni Awang.

Beliau berkata berdasarkan prestasi semasa, harapan tinggi terletak pada acara badminton untuk menyumbang dua pingat menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki dan acara beregu.

Bagi acara terjun, Pandelela dan Jun Hoong berpeluang cerah masing-masing dalam acara 10m platform individu dan 3m papan anjal, katanya.

Saravanan yang melawat perkampungan sukan di sini pada Rabu berkata beliau berpuas hati dengan prestasi 32 atlet Malaysia di Rio tetapi kesal dengan acara memanah.

Trio recurve lelaki gagal mencapai harapan selepas terkeluar awal hari ini dengan Khairul Anuar Mohamad gagal untuk layak dalam acara individu dalam kalangan 16 pemanah.

Pasukan Malaysia berkedudukan paling bawah dalam kalangan 12 negara pada pusingan kelayakan menentukan ranking dan dikalahkan Perancis dalam pusingan pertama.

Sementara itu chef-de-mission Malaysia, Tan Sri Mohamad Al Amin Abdul Majid yang turut mengiringi Saravanan ke perkampungan sukan berkata beliau berharap semua atlet mereka akan memberi persembahan terbaik dalam acara masing-masing.

“Terdapat kekecewaan atas beberapa sebab namun layak ke olimpik sudah merupakan satu kejayaan,” katanya.

Setakat ini atlet memanah, angkat berat dan menembak Malaysia sudah menghabiskan misi mereka di Rio. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA